suria

Tiada Sebab Rakyat Perlu Sokong Anwar - Najib

RAUB: Tiada sebab bagi rakyat menyokong pemimpin 'pakatan' rakyat terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan ramai rakan seperjuangan Ketua Pembangkang itu sudah meninggalkannya kerana hilang kepercayaan terhadap beliau, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata rakyat perlu menilai mengenai perkara tersebut kerana mereka yang meninggalkan Anwar, antaranya Dr Chandra Muzaffar, Profesor Dr Sidek Baba dan Datuk Mohd Ezam Mohd Nor adalah individu yang rapat dengan beliau.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata hal itu menunjukkan bahawa kepimpinan Anwar tidak mendapat sokongan yang kukuh dan berkesan daripada orang di sekelilingnya.

"Dalam PKR (Parti Keadilan Rakyat), orang yang tinggalkan parti itu ialah mereka yang rapat dengan Anwar. Ini yang saya rasa pelik. Kalau orang jauh saya faham.

"Sebagai pengundi, kita perlu tanya. Kalau pemimpin seperti ini ditolak oleh mereka yang di sekelilingnya, kenapa nak tatang," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang kampus Raub di sini, Sabtu.

Perdana Menteri berkata kebanyakan individu yang rapat dengan Anwar menyatakan bahawa ketua pembangkang itu tiada kredibiliti sebagai pemimpin menyebabkan mereka hilang kepercayaan terhadap beliau.

Malah, beliau berkata Chandra pernah mengeluarkan kenyataan bahawa jika Anwar dipilih sebagai perdana menteri, maka akan berlaku malapetaka yang dahsyat di negara ini.

"Bukan saya yang cakap, saya cuma petik (daripada laporan-laporan) dan sampai kepada rakyat di sini. Kalau nak pilih...pilihlah pemimpin yang ada kredibiliti memimpin negara," katanya.

Justeru, Najib berkata rakyat perlu membuat penilaian terhadap perkara tersebut dengan memilih calon BN pada pilihan raya umum Ahad ini kerana pemimpin parti itu sahaja yang mampu memimpin Malaysia.

Menjelang hari mengundi Ahad ini, Perdana Menteri sekali lagi meminta rakyat supaya memberi mandat kepada kerajaan BN supaya agenda transformasi negara dapat diteruskan dengan lebih hebat pada masa akan datang.

"Ini kali pertama saya menjadi perdana menteri meminta mandat daripada rakyat. Saya nak teruskan amanah...tugas transformasi belum selesai," katanya.

Beliau yakin dengan pengalaman selama 55 tahun memerintah negara, kerajaan BN mempunyai pelan dan perancangan bagi membawa Malaysia ke tahap kejayaan yang lebih cemerlang, disenangi dan dihormati di persada antarabangsa.

Malah, beliau memberi jaminan bahawa dalam tempoh lima tahun akan datang, Malaysia akan berada pada kedudukan yang lebih baik berbanding empat tahun lepas termasuk dari segi keamanan, kestabilan serta kemajuan.

Perdana Menteri turut memberi jaminan kepada rakyat dari pelbagai kaum di negara ini bahawa kebajikan mereka akan dijaga termasuk dari segi pendidikan jika BN terus diberi mandat mentabdir negara ini. Dalam pada itu, Najib mengingatkan orang Melayu supaya tidak bimbang apabila mengundi untuk calon-calon bukan Melayu yang mewakili parti komponen BN.

Perdana Menteri berkata BN adalah sebuah parti gabungan yang membuat keputusan berdasarkan kepada kepercayaan dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

"(Misalnya) apabila kita perjuangkan hak-hak orang Islam, MCA tidak pernah halang, yang menghalang ialah DAP," katanya.

Beliau berkata di Pulau Pinang, misalnya, rakyat di negeri itu berasa kecewa dengan tindakan dan dasar-dasar kerajaan DAP Pulau Pinang yang mendiskriminasi orang Melayu.

Najib juga menggesa pengundi menolak bekas pemimpin Umno yang kini menjadi calon DAP bagi kerusi Parlimen Raub iaitu Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz yang bertanding berdepan calon BN dari MCA, Datuk Hoh Khai Mun.

"Orang Melayu tidak perlu mengundi beliau (Mohd Ariff Sabri) hanya kerana beliau seorang Melayu. Undi parti dan bukan individu. BN adalah parti yang boleh dipercayai tidak seperti DAP," katanya.

Mohd Ariff menjadi wakil rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis dalam Parlimen Pekan dari 2004 hingga 2008 dan tempoh sepenggal itu menunjukkan bahawa beliau seorang yang tidak popular di kawasannya, kata Najib.

Mengenai UiTM Pahang kampus Raub itu, Perdana Menteri berkata kampus bernilai RM230 juta itu yang bakal menempatkan 3,000 pelajar, dijangka siap pada 2015.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Naib Canselor UiTM Datuk Seri Prof Sahol Hamid Abu Bakar. - BERNAMA

Artikel Lain