suria

Slogan 'Ubah' Sekadar Gimik Pembangkang Raih Perhatian - Najib

SARATOK: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan slogan 'ubah" yang dilaungkan pembangkang tidak lebih daripada sekadar gimik bagi meraih perhatian, menasihatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengannya.

Perdana Menteri berkata di sebalik slogan yang kononnya mengandungi madu itu sebenarnya tersembunyi racun berbisa yang mana telah dirasai penduduk di empat buah negeri yang ditadbir pakatan pembangkang ketika ini.

Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang ditadbir pakatan pembangkang.

"Empat buah negeri yang ditadbir pembangkang, setengah daripada kita termakan dengan slogan ubah, tetapi hari ini keempat-empat negeri itu sarat dengan kekecewaan sebab kerajaan yang dipilih tidak dapat laksana apa yang dijanjikan.

"Jadi, saya ingin mengingatkan rakyat supaya jangan sesekali tertarik dengan ungkapan ubah sebab tidak ada apa-apa yang mereka lakukan sebelum ini selepas diberi amanah menjadi kerajaan di negeri berkenaan," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di dataran Krian di sini, Sabtu.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu dan calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Saratok Tan Sri William Mawan Ikom, yang juga Menteri Pembangunan Sosial negeri.

Menjadikan kegagalan kerajaan pakatan pembangkang diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Selangor sebagai contoh, Perdana Menteri berkata kekecewaan ditanggung rakyat negeri itu perlu dijadikan iktibar penduduk, khususnya di Sarawak supaya tidak memberi peluang calon parti itu untuk dipilih menjadi pemimpin.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata berbanding BN yang mempunyai perancangan dan peta jalan yang jelas ke mana negeri dan negara hendak dibawa, PKR yang diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan ternyata gagal memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat yang sentiasa mahukan perubahan.

"Saya tahu di sini ada calon PKR, tetapi kita kena ingat PKR tidak boleh membela masa depan masyarakat di sini. Percayalah, kalau mereka sudah gagal di Selangor, sudah pasti mereka juga akan gagal di Sarawak," katanya.

Beliau berkata rakyat perlu bijak membuat penilaian kerana pertembungan dalam pilihan raya tidak hanya boleh dilihat dari sudut individu tertentu, sebaliknya melibatkan soal kemampuan dan kebolehpercayaan untuk diletakkan sebagai pilihan untuk membela nasib masyarakat di masa hadapan.

Perdana Menteri turut menarik perhatian bahawa pilihan yang bakal dibuat rakyat Sarawak pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei ini mempunyai signifikan tersendiri kepada kekuatan kerajaan BN di peringkat pusat.

Untuk itu, katanya tanggungjawab yang perlu dilakukan pengundi di Sarawak ialah menentukan sebuah kerajaan pusat yang kuat boleh ditubuhkan supaya dengan kerajaan negeri yang kini dipimpin BN, masa depan rakyat dan negeri ini akan lebih terjamin.

Perdana Menteri berkata mereka yang bakal memilih pemimpin perlu ingat bahawa kerajaan pusat yang lemah dan terumbang-ambing akan menerima tekanan daripada pembangkang serta pihak luar dan sudah pasti kerajaan yang terdedah kepada keadaan itu tidak berupaya meneruskan proses pembangunan yang dirancang.

Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi di Saratok memilih calon BN sebagai pilihan kerana hubungan rapat Mawan dengan beliau selaku pengerusi BN akan memudahkan perancangan proses pembangunan di kawasan itu.

"Calon BN yang bertanding di sini mempunyai akses kepada saya selaku pengerusi BN, jadi sudah pasti nasib penduduk Saratok akan lebih mudah mendapat perhatian dari saya," katanya.

Najib berkata peruntukan RM8.8 juta turut dimasukkan sebagai sebahagian daripada manifesto atau aku janji BN untuk mengatasi masalah bekalan air di Saratok.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain