suria

Pengundi Perlu Tolak Parti Yang Dapatkan Bantuan Negara Lain

PASIR GUDANG: Pengundi di negeri ini perlu menolak mana-mana parti politik yang mendapatkan bantuan negara lain bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ini.

Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini disebabkan tindakan itu boleh merosakkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara selain tidak memberikan keuntungan kepada Malaysia.

"Kita mempersoalkan pihak yang menggunakan kuasa luar ini kerana ia boleh menyebabkan kita (negara) terhutang budi... yang mana budi itu perlu dibalas. Ini tidak akan menguntungkan negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar miskin oleh Yayasan Pelajaran Mara, perasmian Kelas Tuisyen Gemilang 1 Malaysia 2013 dan penyampaian sumbangan kepada fakir miskin, di Taman Scientex di sini Jumaat.

Pada Khamis, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata terdapat unsur campur tangan dari negara luar untuk menggagalkan pembentukan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Johor.

Tanpa menyebut sebarang nama, Zahid berkata pihak berkenaan didapati cukup berazam memastikan pembangkang di Johor menang pada PRU-13 yang berlangsung 5 Mei nanti.

"Oleh itu, amat penting kita pastikan kemenangan dengan majoriti dua pertiga untuk buktikan kita menolak campur tangan asing terhadap politik Johor dan Malaysia," kata Zahid.

Khaled yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, berharap perkara itu tidak benar tetapi "jika berlaku, kita akan tentang sekeras-kerasnya".

Pada majlis itu, YPM menyalur RM22,500 kepada 225 pelajar manakala 600 fakir miskin menerima bantuan berbentuk barangan bernilai RM120,000.

Turut hadir calon muka baharu kerusi parlimen Pasir Gudang Normala Abdul Samad dan calon DUN Johor Jaya Tan Cher Puk. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain