suria

Lelaki Didakwa Beri 86 Dokumen Palsu Kepada Bank

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 86 pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen membabitkan RM41 juta, lapan tahun lepas.

Kuan Pek Seng, 46, didakwa menggunakan 86 invois palsu bagi tujuan permohonan tuntutan kemudahan Penerimaan Jurubank yang berjumlah RM41 juta kepada beberapa bank, antara Februari dan November 2005.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 467 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM50,000 kerana anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan.

"Selain itu, anak guam saya memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dilakukan terhadapnya," katanya.

Hakim Murtazadi Amran BCK kemudian membenarkan Kuan diikat jamin RM350,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 17 Mei depan untuk sebutan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain