suria

PKR Umum Calon Tanding Di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pada Selasa mengumumkan empat daripada enam calon parti itu yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pengerusi PKR negeri, Azam Ismail diletakkan sebagai calon di DUN Bandar.

Azan yang merupakan penyandang Parlimen Indera Mahkota akan bertemu calon tunggal MCA, Datuk Toh Chin Yow.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang juga seorang kontraktor, Mohd Shamsul Mat Amin, 28, akan bertanding di kerusi DUN Bukit Besi.

Mohd Shamsul berkata, dia tidak sabar untuk mengetengahkan isu-isu belia sebagai tambahan di dalam manifesto Pakatan Rakyat.

Kerusi DUN Permaisuri pula akan ditandingi ahli jawatankuasa PKR Setiu, Wan Mokhtar Wan Ismail, 46, manakala Pengerusi PKR Ulu Terengganu, Narawi Embung, 48, akan bertanding di DUN Telemung.

Wan Azizah berkata calon untuk kerusi DUN Kota Putera dan Seberang Takir akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Katanya, adalah menjadi kebiasaan bagi individu yang digugurkan berasa kecewa.

"Terdapat rasa tidak puas hati...malah berlaku juga dalam Umno dan Barisan Nasional mengenai senarai calon mereka.

"Calon kami diputuskan di peringkat pusat. Saya yakin kami akan bekerjasama," katanya.

Terdahulu, tiga wakil PAS menggesa PAS Terengganu untuk membenarkan mereka bertanding di DUN Seberang Takir, Bandar dan Bukit Besi.

Berikut adalah senarai calon PKR Terengganu:

DUN

N2: Kota Putera - belum dimuktamadkan

N6: Permaisuri - Wan Mokhtar Wan Ibrahim

N11: Seberang Takir - belum dimuktamadkan

N14: Bandar - Azan Ismail

N21: Telemung - Narawi Embung

N25: Bukit Besi - Mohd Shamsul Mat Amin

Parlimen

P040: Kemaman - Kamarudin Chik

Artikel Lain