suria

Dua Pencuri Kereta Diberkas Ketika Sedang Makan

KUANTAN: Dua orang mekanik yang dipercayai terbabit dalam kes mencuri dua buah kereta di Selangor ditahan ketika berhenti rehat dan menjamu selera di sebuah restoran di Kubang Pasu, Kuala Lipis pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Abdul Razak Hassan ketika dihubungi di sini berkata berkata mereka yang berumur 21 tahun dan berasal dari Kelantan itu ditahan kira-kira 2.40 petang.

Kedua-duanya dipercayai pakar mencuri kenderaan dan meleraikan komponen kenderaan yang dicuri untuk dijadikan alat ganti kereta terpakai.

Mengenai kes tersebut, Abdul Razak berkata pada hari yang sama, pemilik kereta Honda Civic tersebut menyedari keretanya hilang di Puchong, Selangor sebelum beliau membuat hebahan melalui laman web Kelab Honda Civic.

Beliau berkata secara kebetulan dua anggota dari Balai Polis Merapoh yang dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lipis telah berselisih dengan kereta mangsa lalu mengekorinya.

"Selepas mengekori sejauh kira-kira lebih dua kilometer, suspek di dapati berhenti di sebuah restoran dan makan bersama seorang lelaki sebelum anggota berkenaan bertindak menahan mereka," katanya.

Beliau berkata sebuah lagi kereta Proton Perdana yang dipandu rakan mereka yang juga dilapor hilang di Puchong turut ditemui.

Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain