suria

PM Pikat Pengundi Muda Dalam Jelajah Kempen Terbaru

KUALA LUMPUR: Meneruskan pendekatan inklusif beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mendekati ribuan golongan muda dan memberikan jaminan mereka akan mempunyai "masa depan yang penuh dengan harapan" di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

Memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam kempen beliau bagi pilihan raya umum ke-13, Perdana Menteri menyampaikan harapan dan janji beliau itu kepada ribuan belia, kebanyakannya pelajar berusia lingkungan 20-an di kompleks sukan Bukit Jalil di sini.

"Tak ada sebab untuk golongan muda rasa bahawa mereka tidak terbela kerana kerajaan hari ini kita telah membuka proses amalan demokrasi yang lebih terbuka dan liberal. "Percayalah, kerajaan yang ada hari ini adalah kerajaan untuk orang-orang muda," kata Najib semasa melancarkan program "Suara Generasiku".

Pengundi muda merupakan antara faktor penentu pada hari pengundian 5 Mei ini.

Lebih 2.3 juta atau 18 peratus pemilih adalah pengundi yang baharu berdaftar.

Najib telah menggariskan secara terperinci, dalam manifesto BN mengenai bagaimana kerajaan akan meneruskan usaha demi untuk mencapai kecemerlangan pendidikan dan menyediakan platform kepada golongan muda untuk meningkatkan daya kreativiti mereka dan merealisasikan impian mereka. Meskipun ini merupakan kali pertama Najib menghadiri program bersama golongan muda selepas beliau membubarkan Dewan Rakyat pada 3 April, Perdana Menteri tetap berhubungan dengan mereka menerusi Twitter dan Facebook, dan kadang kala menonton perlawanan bola sepak "secara langsung" di tempat-tempat popular di kalangan orang muda di ibu negara.

Angka terkini menunjukkan beliau mempunyai 1.4 juta peminat di Twitter dan 1.56 juta "likes" di Facebook.

Hari ini, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata beliau tidak akan bertanding dalam PRU13, menyertai langkah beberapa lagi orang kuat parti, yang termasuk Tan Sri Rafidah Aziz, Datuk Seri Azmi Khalid, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Tan Sri Ong Ka Ting.

Selepas Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengumumkan semalam yang beliau akan mengetuai kempen parti tetapi tidak bertanding, Ketua Wanita parti Datuk Seri Dr Ng Yen Yen turut menyatakan kesediaan untuk berundur.

Berikutan penamaan calon ditetapkan pada 20 April, BN dijangka mengumumkan barisan calonnya minggu depan.

Di SABAH, pilihan raya umum kali ini akan menyaksikan pertarungan antara Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan adiknya Datuk Dr Jeffrey, sekali lagi di kerusi Parlimen Keningau.

Pairin berkata pilihan raya umum ini adalah yang terakhir baginya dan beliau akan mempertahankan kerusi Keningau dan Dewan Undangan Negeri (DUN)Tambunan - yang merupakan kubu kuat BN dan demi rakyat Sabah.

Sementara itu, Pengerusi DAP Karpal Singh berkata parti itu akan hanya memilih seorang atau dua individu untuk bertanding serentak di kerusi Parlimen dan DUN atas sebab strategik, selaras dengan dasar parti iaitu satu calon bagi satu kerusi.

Ketika ini, sembilan pemimpin DAP adalah penyandang kerusi Parlimen dan DUN, antara mereka Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, setiausaha penganjur parti kebangsaan Teresa Kok dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Prof P. Ramasamy.

Karpal Singh berkata DAP masih belum selesai dalam pemilihan calonnya dan kemungkinan akan berlarutan sehingga hari penamaan calon pada 20 April.

Di SARAWAK, pertelagahan mengenai pembahagian kerusi antara DAP dan PKR telah menjejaskan rancangan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengumumkan calon pakatan pembangkang di negeri itu malam tadi.

Anwar berkata setakat ini PKR mengesahkan akan bertanding di 11 kerusi Parlimen tetapi pengerusi PKR negeri Baru Bian, yang akan bertanding di Limbang, berkata PKR mahu bertanding sekurang-kurangnya 13 kerusi.

Sementara itu, semakin ramai anggota pembangkang keluar parti untuk menyokong BN. Di Bachok, KELANTAN, 300 anggota PAS mengisytiharkan menyertai Umno dengan ketua kumpulan itu Rosli Md Noor, berkata PAS gagal menunaikan janjinya selepas 23 tahun memerintah negeri itu.

Sebanyak 60 lagi anggota PAS di Perak turut mengumumkan keluar parti untuk menjadi anggota Umno Bahagian Pasir Salak. -BERNAMA

Artikel Lain