suria

Askar Wataniah Rakyat Sabah Akan Dibentuk Untuk Sertai ESSZONE - Ahmad Hamidi

LAHAD DATU: Pasukan askar wataniah yang terdiri dari kalangan rakyat Sabah akan dibentuk bagi menyertai Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) dalam masa terdekat, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata proses menemu duga akan dijalankan dan mereka yang terpilih bakal menerima gaji bulanan sebagai anggota biasa angkatan tentera.

"Semangat mempertahan bumi Sabah ini perlu melibatkan semua pihak, di samping tentera dan polis akan terus memperkukuh kedudukan di kawasan ini," katanya kepada pemberita selepas melawat pasukan keselamatan yang bertugas dalam Operasi Daulat di Tanjung Labian pada Isnin.

Tanjung Labian dikawal ketat oleh lebih 200 anggota tentera dan polis.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pusat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang bakal beroperasi secara kekal, akan diperkuat dengan penambahan lebih banyak aset dan anggota tentera.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Zahid memberi jaminan keselamatan dan kedaulatan bumi Sabah adalah lebih penting walaupun negara sedang menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingin mengganggu keamanan serta merampas kedaulatan Sabah.

"Kita mahu memberitahu kepada musuh yang berada di luar dan dalam bahawa jangan perlekehkan, jangan diperbodohkan dan jangan dihina pasukan tentera dan polis kita.

"Walaupun keluarga (Jamalul) Kiram ini berkokok di Manila, Filipina mengatakan akan menghantar lebih ramai orang upahan untuk menakluki Sabah, tetapi kerajaan dan rakyat Malaysia yakin dengan kemampuan dan kebolehan anda semua (tentera dan polis)," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyerahkan sumbangan wang sebanyak RM45,000 bagi membaik pulih masjid di Kampung Tanjung Labian. - BERNAMA

Artikel Lain