suria

Jabatan Air Lahad Datu Buat Catuan Air

LAHAD DATU: Jabatan Air Lahad Datu terpaksa membuat catuan air bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan, khususnya di kawasan yang mempunyai tekanan air rendah di sekitar pekan, sejak awal bulan ini.

Juruteranya Samsul Bahriy Marullah menjelaskan masalah itu ekoran paras air Sungai Segama di sini, yang menjadi punca bekalan air di pekan Lahad Datu, semakin surut berikutan musim kemarau.

"Sungai Segama semakin cetek. Pada 1 Mac lepas, paras air sungai ialah 2.5 meter dan paras air menurun kepada 1.8 meter semasa mengambil bacaan semalam.

"Kami terpaksa mencatu air, antaranya ialah menghantar lori air setiap hari ke kawasan yang mempunyai tekanan air yang sangat rendah, terutamanya di Jalan Tengah Nipah, dan menutup injap bekalan air pada waktu malam," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Samsul Bahriy berkata kira-kira 2,000 pengguna terjejas dan Jabatan Air Daerah hanya mampu membekalkan 58 juta liter sehari (mld) daripada 62 mld sebelum musim kemarau.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sepanjang tahun lepas, Jabatan Air Daerah mengeluarkan 91 kompaun, yang melibatkan pelbagai kesalahan seperti curi bekalan air dan penyambungan haram bernilai RM47,100.

Katanya jabatan itu mengenal pasti 294 penyambungan haram di kawasan setinggan dalam tempoh sama. - BERNAMA

Artikel Lain