suria

Maidam Diarah Bertindak Terhadap Imam Jadi Penceramah Pembangkang

KEMAMAN: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mengarahkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana imam di bawahnya yang menjadi penceramah kepada parti pembangkang.

Beliau berkata perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku kerana imam terbabit bertugas dengan kerajaan dan sepatutnya mengikut dasar kerajaan negeri.

Sehubungan itu, beliau akan mendapatkan laporan daripada Maidam berkaitan dakwaan terdapat sesetengah imam berceramah bagi pihak pembangkang.

"Kita harap Maidam dapat ambil tindakan kepada imam yang terlibat kerana mereka ini tidak seharusnya melibatkan diri dengan mana-mana parti politik.

"Imam yang bekerja dan mendapat gaji daripada kerajaan, dan pada masa yang sama menentang kerajaan dengan berceramah di pihak pembangkang, adalah satu perbuatan yang keterlaluan," katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Kijal pada Ahad.

Pada majlis itu, seramai 820 orang menerima BR1M membabitkan peruntukan sebanyak RM410,000.

Minggu lepas, Pesuruhjaya Agama Maidam Datuk Mohd Rozali Salleh mendedahkan menerima laporan beberapa imam kerajaan berceramah bagi pihak pembangkang di beberapa masjid di daerah seperti Besut dan Kuala Terengganu.

Ahmad berkata imam adalah orang yang sepatutnya menjadi contoh serta mengajak umat Islam ke arah perpaduan, dan jika mereka terpengaruh dengan sikap pembangkang seperti PAS, ia akan menjurus kepada lebih banyak perpecahan kerana parti itulah menyebabkan umat Islam berpecah-belah ketika ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata rakyat tidak akan mendapat sebarang faedah jika menyokong PAS yang hanya pandai menabur janji kosong serta dengan mudah menuduh kerajaan memberi BR1M sebagai umpan pilihan raya.

"Kita boleh bagi BR1M kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) mampu membela nasib rakyat, dan tidak mustahil BR1M akan diteruskan jika rakyat terus menyokong BN. "Kerajaan negeri juga sudah 13 tahun memberi bantuan dana raya kepada rakyat negeri ini, dan ia akan diteruskan selagi rakyat memberi mandat kepada BN di negeri ini," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain