suria

Sembilan Wanita Warga Asing Didakwa Didera, Dikurung Majikan Di Melaka

MELAKA: Jabatan Imigresen Melaka pada Sabtu berjaya menyelamatkan sembilan wanita warga asing yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam serbuan di sebuah restoran di Banda Hilir di sini.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Melaka Mohammad Azlan Jawawi berkata dalam serbuan pada 12.30 tengah hari itu kesemua wanita yang mempunyai permit sah sedang bekerja di premis tersebut.

"Wanita terbabit yang terdiri daripada tujuh warga Indonesia dan dua warga Myanmar berusia antara 22 hingga 31 tahun itu ditempatkan dalam sebuah bilik dan tidak dibenarkan keluar selain untuk bekerja," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, Sabtu.

Katanya, mangsa juga mendakwa turut didera majikan mereka dan siasatan awal mengikut Akta Imigresen 1959/63 mendapati majikan tidak melakukan kesalahan.

Mohammad Azlan bagaimanapun berkata kes itu, kemudian disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang (Pindaan) 2010 atas dakwaan didera majikan, tidak diberi kebebasan untuk keluar apabila tidak bekerja termasuk masalah gaji.

"Berdasarkan soal siasat terhadap kesemua mangsa tersebut, mereka mendakwa tidak mengetahui jumlah gaji yang diterima kerana wang berkenaan dimasukkan secara terus ke dalam bank," katanya.

Mohammad Azlan berkata pekerja tersebut turut mendakwa tidak menerima gaji RM900 seperti dijanjikan dan gaji mereka dipotong antara RM20 hingga RM50 sekiranya melakukan kesalahan kecil.

Bagaimanapun, katanya majikan lelaki berusia lingkungan 40-an itu tidak ditahan sebaliknya akan dipanggil membantu siasatan.

Sementara itu, seorang mangsa dikenali sebagai Eka, 22, dari Jawa Timur, Indonesia mendakwa telah lebih 20 kali dilempang, ditendang dan dibaling dengan kasut hanya kerana melakukan kesalahan kecil termasuk lambat membersihkan lantai sepanjang tiga tahun bekerja di restoran tersebut.

"Lebih teruk saya yang beragama Islam juga dipaksa memproses daging babi untuk dimasak dan akan dimarahi jika tidak mahu berbuat demikian," katanya.

Dalam kes berasingan, dua pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen Melaka terkena gas pemedih mata dalam trak dinaiki ketika melakukan serbuan di sebuah kelab malam di Melaka Raya di sini, pada Jumaat.

Pengarahnya Kamalludin Ismail berkata gas pemedih mata itu dipercayai diletakkan pada lubang penghawa dingin trak jabatan itu oleh tonto ketika sepasukan 15 penguat kuasa melakukan serbuan di kelab malam tersebut.

"Sejurus kedua-dua pegawai berkenaan menaiki kenderaan itu, mereka terkena gas pemedih mata dan kita percaya tindakan ini bertujuan menggagalkan serbuan dan menghalang penguat kuasa menahan GRO (pegawai perhubungan pelanggan) warga China di kelab tersebut," katanya.

Bagaimanapun kedua-dua pegawai masing-masing berusia lingkungan 20-an dan 40-an itu, katanya tidak mengalami kecederaan serius.

Dalam serbuan pada 7 malam itu, Kamalludin berkata pihaknya menahan empat wanita warga China di premis itu sebelum menjumpai sebuah bilik rahsia di tingkat dua bangunan tersebut yang menjadi tempat persembunyian 20 lagi GRO berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Selain itu, katanya seramai 18 warga asing serta seorang lelaki tempatan ditahan di sebuah Pangsapuri Bachang Permai kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa. BERNAMA

Artikel Lain