suria

Hanya Tugas APMM Di Perairan Timur Sabah Di Bawah Kementerian Pertahanan - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Hanya tugas operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk menjaga perairan timur Sabah sepanjang 1,400 km diserahkan di bawah kendalian Kementerian Pertahanan manakala operasi APMM di tempat lain masih di bawah pengurusan ibu pejabat agensi tersebut.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan berkenaan dilaksanakan bagi menyelaraskan operasi di sepanjang sempadan perairan Malaysia dan Filipina serta sebagai kemudahan untuk pembelian aset APMM nanti sesuai dengan kewujudan ESSCOM (Kawasan Keselamatan Khas Sabah).

"Setakat ini tidak dapat dipastikan ia bersifat sementara atau kekal, namun jika mengikut sejarah ketika berlaku insurgensi komunis di Rajang, Sarawak, kita pernah mewujudkan Pengawal Pemerintah Keselamatan Rajang (RASCOM), namun bila masalah komunis telah selesai RASCOM tidak lagi wujud.

"Namun kita berharap agar krisis di Sabah dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3 pagi Jumaat.

Pada Khamis, Ahmad Zahid mengumumkan Kementerian Pertahanan kini bertanggungjawab menjaga perairan timur Sabah sepanjang 1,400 km yang sebelum ini di bawah pengurusan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ahmad Zahid berkata dengan arahan terbaharu itu, perairan Sabah yang dikawal APMM, akan terletak di bawah tanggungjawab kementeriannya dengan dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Mengulas mengenai dua helikopter pelbagai guna milik Tentera Darat, Agusta Westland AW109 yang tiba di padang markas Operasi Daulat di Felda Sahabat 16 semalam, Ahmad Zahid berkata: "Ia bukan sekadar sebagai aset utiliti dan pengangkutan tetapi akan dilengkapi dengan peluru untuk serangan dari udara ke darat.

"Kita akan mengambil tindakan menyerang lebih agresif jika masih terdapat tanda-tanda penceroboh tidak mahu letak senjata dan ia sebagai langkah jangka pendek.

"Pada masa akan datang akan ada beberapa helikopter pelbagai guna yang akan ditempatkan secara tetap apabila ESSCOM diwujudkan secara rasmi nanti," katanya.

Semalam, helikopter jenis peninjau dan pengangkut menggunakan enjin berkembar serta mampu memuatkan lapan penumpang bagi mengukuhkan lagi kekuatan pasukan keselamatan dalam usaha menggempur pengganas sejak pencerobohan dikesan 12 Februari lepas, tiba di padang markas Operasi Daulat di Felda Sahabat 16.

Selain helikopter tersebut, 12 kereta perisai berantai jenis Adnan dan kapal perang TLDM juga dijangka tiba secara berperingkat.

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah telah mewujudkan program kaunseling bagi memberi khidmat kaunseling kepada pelajar dan guru yang terjejas akibat insiden pencerobohan.

Beliau berkata pasukan kaunseling ini telah bergerak ke sekolah-sekolah terutama ke kelas sementara yang dijalankan di pusat penempatan sementara.

"Program ini dijalankan untuk menenangkan kembali guru-guru dan pelajar yang terjejas perasaan mereka akibat insiden yang berlaku bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti pendidikan mereka," katanya.

Menurut Abd Ghafar setakat ini juga semangat guru-guru dan pelajar untuk meneruskan aktiviti persekolahan adalah tinggi walaupun terdapat tiga lagi sekolah yang ditutup untuk Operasi Daulat.

Semalam, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pelajar daripada tiga sekolah di Felda Sahabat yang masih ditutup untuk Operasi Daulat dibenar menghadirkan diri di mana-mana sekolah untuk meneruskan pelajaran.

Tiga sekolah yang berada dalam zon merah ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Labian yang mempunyai 18 guru dan 265 murid, SK Lok Buani (13 guru, 127 murid) dan SK Fajar Harapan (40 guru, 605 murid). - BERNAMA

Artikel Lain