suria

Kunjungan PM Ke Rumah Terbuka Dong Zong Satu Permulaan Baik - Liow

PUTRAJAYA: "Ia satu permulaan baik, kami boleh terus mempereratkan hubungan dan bekerja keras demi faedah semua di dalam negara ini," kata Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Liow semasa mengulas kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) baru-baru ini berkata, beliau gembira kerana Perdana Menteri prihatin dan meluangkan masa untuk menghadiri majlis itu.

"Ini menunjukkan kebudayaan pelbagai kaum di Malaysia, kebudayaan kita untuk menghormati dan menyambut Tahun Baharu Cina bersama-sama," katanya dan menurutnya MCA akan terus membantu Dong Zong dan mana-mana persatuan yang memerlukan bantuan mereka.

Mengenai isu MCA kini tidak lagi dianggap sebagai orang tengah berikutan persatuan itu kini boleh berjumpa secara terus dengan perdana menteri, Liow yang juga Menteri Kesihatan berkata beliau pendapat perkara itu tidak salah.

"Kami berkhidmat kepada rakyat, objektifnya sama," katanya.

Najib pada Ahad lepas menjadi perdana menteri pertama menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dong Zong sejak persatuan itu ditubuhkan 59 tahun lepas, yang berlangsung di pusat pengajian tinggi Dong Jiao Zong di Kajang. - BERNAMA

Artikel Lain