suria

Inkues Kematian William Yau Dijangka Diketahui Minggu Depan

PETALING JAYA: Tarikh prosiding inkues berhubung kehilangan dan kematian William Yau Zhen Zhong dijangka akan diketahui pada minggu depan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata, polis masih menunggu keputusan daripada Mahkamah Majistret mengenai tarikh inkues.

“Pada awalnya kami menjangkakan tarikh itu diberikan dalam minggu ini tetapi itu bukan kesnya.

“Bagaimanapun, kami amat berharap mahkamah akan memberikan jawapan pada Isnin (depan),” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

ACP Yahaya berkata, polis sudah pun mempunyai kira-kira 54 saksi dan individu yang berkepentingan untuk inkues.

“Sesuatu inkues merupakan langkah paling logik selepas penyiasatan kami, apabila hasil selepas lebih dua minggu tidak menemui bukti atau petunjuk yang kukuh.

“Malah keputusan penuh bedah siasat juga gagal menjelaskan tentang punca kematian William,” katanya.

Pada 16 Januari lalu, William yang berusia enam tahun hilang di Putera Heights apabila kedua-dua ibu bapanya singgah di sebuah kedai kelengkapan elektrik.

Mayat William dijumpai seminggu kemudian di jeti Kampung Sungai Sireh di Klang.

Artikel Berikut

Artikel Lain