suria

APMM Patah Cubaan Seludup Diesel Bernilai RM3.6 Juta

JOHOR BARU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan berjaya mematahkan cubaan untuk menyeludup keluar 200,000 liter minyak diesel bernilai RM3.6 juta di perairan Teluk Sengat, Sungai Johor, Kota Tinggi awal pagi Jumaat.

Pengarah Operasi Maritim Malaysia Wilayah Selatan Kapten Ibrahim Mohamed berkata, kegiatan mencurigakan beberapa buah lori tangki sedang memindahkan minyak ke Kapal MT Pattrathorn di jeti itu disedari orang awam.

"Hasil maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota yang sedang melakukan rondaan diperairan Pengerang bergegas ke lokasi yang dilaporkan dan berjaya mengesan kapal tersebut lebih kurang pukul 8.50 pagi.

"Kita kemudian berjaya memintas serta menahan Kapal MT Pattrathorn di perairan Teluk Sengat, Sungai Johor," katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini Sabtu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, pihak berkuasa menemui 200,000 liter dipercayai minyak diesel disembunyi di dalam lapan tangki yang dianggar bernilai hampir RM3.6 juta.

Katanya, kapten kapal berkenaan juga gagal menggemukakan sebarang permit dan dokumen berkaitan minyak diesel berkenaan apabila diminta berbuat demikian.

"Kita percaya mereka merancang untuk menjual minyak diesel tersebut ke negara jiran bertujuan untuk mengaut keuntungan yang lebih," katanya.

Menurut Ibrahim, kapal MT Pattrathorn yang didaftarkan Ulaanbaatar, Mongolia itu bersama kapten serta tiga kru warganegara Indonesia berumur antara 20 hingga 46 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974. - BERNAMA

Artikel Lain