suria

Pemandu Kurang Senang Perbuatan Pengemis Warga Asing

Walaupun cacat pengemis ini tetap meminta sedekah daripada pemandu yang berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Walaupun cacat pengemis ini tetap meminta sedekah daripada pemandu yang berhenti di persimpangan lampu isyarat.
Walaupun cacat pengemis ini tetap meminta sedekah daripada pemandu yang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

PETALING JAYA: Perbuatan pengemis warga asing meminta sedekah daripada pemandu di persimpangan lampu isyarat yang sibuk menimbulkan rasa kurang senang di kalangan rakyat Malaysia.

Mereka pergi dari sebuah kereta ke kereta lain yang berhenti di persimpangan lampu isyarat dan menghampiri pemandu dengan menjual beberapa barangan seperti pen dan tisu paket.

Modus operandi mereka berbeza dengan pengemis biasa yang memintah sedekah di beberapa lokasi seperti jambatan yang menjadi laluan pejalan kaki dan kawasan kaki lima.

Antara kawasan panas mereka adalah persimpangan LDP-Motorola, tol Sungai Rasau dan persimpangan Persiaran Bukit Raja di Klang serta persimpangan Lebuh Raya Persekutuan ke arah Jalan Utara.

Rasa kurang senang itu ditulis dalam surat kepada The Star, mengadu perbuatan golongan pengemis tersebut memberi imej buruk kepada negara.

Salah seorang pembaca memetik kes seorang pengemis bertongkat yang meminta sedekah dari sebuah kereta ke kereta lain di persimpangan masuk ke kompleks pusat membeli-belah 1Utama melalui LDP dari Kepong/Sg Buloh.

Pengemis sama turut dilihat berada di Bukit Raja, Klang kira-kira 250m dari tol plaza Sungai Rasah, minggu lalu dengan menjual pen kepada pemandu.

Disebalik kecacatannya, lelaki itu menghampiri puluhan kenderaan sebelum lampu isyarat bertukar hijau.

Di persimpangan lampu isyarat Persiaran Bukit Raja, seorang wanita turut meminta sedekah daripada pemandu yang berhenti dengan menjual tisu paket.

Apabila ditanya mengenai harga, dia kelihatan keliru dan hanya mengambil RM1 sebelum menyerahkan tisu tersebut.

Perkara sama turut dilihat di persimpangan lampu isyarat Lebuh Raya Persekutuan menuju Jalan Utara dan persimpangan LDP-Motorola.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, kebanyakan pengemis warga asing di sekitar Lembah Klang dikaitkan dengan sindiket peminta sedekah.

"Kami telah memantau aktiviti tersebut untuk beberapa ketika.

"Adalah mustahil bagi mereka untuk beroperasi sendirian. Kebanyakan aktiviti mereka dikendalikan oleh sindiket," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pengemis tersebut berasal dari China.

Bagaimanapun, Mohd Bakri tidak merasakan pengemis warga asing itu merupakan mangsa pemerdagangan manusia.

Menurutnya, polis menerusi Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) bekerjasama dengan beberapa agensi seperti Jabatan Imigresen dan majlis perbandaran untuk menahan pengemis jalanan tersebut.

"Kita harus menyampaikan mesej jelas bahawa kehadiran mereka tidak dialu-alukan. Mereka meminta simpati daripada orang ramai untuk mendapatkan wang dengan mudah," katanya.

Ketua Biro Khidmat Masyarakat dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong menganggarkan bahawa setiap pengemis boleh memperolehi pendapatan antara RM7,000 dan RM10,000 setiap bulan.

Chong yang percaya golongan pengemis itu terdiri daripada warga asing berkata; " Saya telah bercakap dengan mereka dan percakapan mereka berbeza."

Beliau berkata, beberapa pengemis tersebut telah mengadu kepadanya bahawa mereka dibuli oleh sebuah sindiket yang enggan berkongsi jumlah pendapatan dengan mereka.

Tahun lalu, Jabatan Kebajikan Masyarakat menahan 1,408 pengemis.

Daripada jumlah tersebut, 318 merupakan warga asing.

Antara Januari dan Jun tahun ini, 504 pengemis berjaya ditahan di mana 119 daripadanya merupakan warga asing.

Artikel Sebelum

Artikel Lain