Nasib 7 Graduan Kuin Ijazah Tidak Diiktiraf MQA Dapat Perhatian Najib - Semasa | mStar

Nasib 7 Graduan Kuin Ijazah Tidak Diiktiraf MQA Dapat Perhatian Najib

ALOR SETAR: Nasib tujuh graduan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di sini yang ijazah mereka tidak mendapat pengiktirafan Agensi Akreditasi Malaysia (MQA) telah dibawa untuk perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Usaha Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah menyampaikan surat melalui faksimili kepada Perdana Menteri petang ini mendapat jawapan tidak sampai sejam daripada Pegawai Khas beliau, Datuk Irmohizam Ibrahim.

Menurut pengerusi GPMS Kedah, Shamsul Bahar Abdul Rani, Irmohizam telah memaklumkan kepadanya menerima surat yang difaks serta mengambil perhatian dan meneliti kes tersebut sewajarnya.

"GPMS Kedah amat bersyukur dengan keprihatinan Perdana Menteri terhadap isu ini dan membuktikan beliau amat peka dengan masalah rakyat," kata Shamsul Bahar pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Tujuh graduan Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qiraat terbabit menerima ijazah pada konvokesyen Kuin Oktober lepas dalam dilema kerana tidak diterima dalam sektor kerajaan apabila ijazah mereka tidak mendapat pengiktirafan MQA.

Shamsul Bahar berkata GPMS Kedah yakin dengan keprihatinan dan bantuan Perdana Menteri, polemik isu ini dapat diselesaikan dan pihaknya juga bersedia membawa pelajar berkenaan menemui Najib.

Katanya surat yang sama dihantar kepada Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin minggu lepas turut mendapat perhatian menteri berkenaan.

Wakil graduan berkenaan yang hadir pada sidang akhbar itu tetapi enggan namanya disiarkan berkata pengurusan fakulti tidak jujur dan ikhlas apabila memanggil beliau seorang sahaja untuk menerangkan ijazah mereka tidak mendapat pengiktirafan MQA selepas majlis konvokesyen selesai.

"Sepatutnya kami (semua lelaki) yang merupakan kumpulan pertama berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya dipanggil, bukan saya seorang.

"Sekarang lebih jelas apabila saya dimaklumkan pihak pengurusan bahawa peluang ijazah kami untuk mendapat pengiktirafan MQA adalah 50-50 kerana ada pensyarah tidak berkelayakan mengajar kami.

"Saya juga dimaklumkan proses permohonan untuk mendapat pengiktirafan itu yang dibuat oleh pengurusan fakulti sejak bulan lepas mengambil masa kira-kira tujuh bulan lagi," katanya dengan nada pilu.

Beliau berkata rakan-rakannya kini ada bekerja dengan pihak swasta, menjadi tenaga pengajar di Maahad Tahfiz, Sekolah Agama Rakyat, menjadi pemandu teksi di Kuala Lumpur dan bekerja kedai serbaneka untuk meneruskan kehidupan mereka. BERNAMA

Artikel Sebelum

Murid Tahun Lima Maut Dilanggar Lori

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain