suria

53,034 Miskin Tegar Direkod Dalam e-Kasih

KUALA LUMPUR: Seramai 53,034 ketua isi rumah (KIR) masih direkodkan sebagai miskin tegar di dalam sistem eKasih sehingga 31 Oktober lepas, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K.Devamany.

Beliau berkata antara langkah yang diambil kerajaan untuk mencapai status miskin tegar sifar menjelang 2020 ialah melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang diperkenalkan pada 2010.

"Antara kejayaan besar yang dicapai program GTP ini ialah mengeluarkan lebih 44,000 isi rumah daripada kategori miskin tegar pada 2010," katanya menjawab soalan Senator Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman pada persidangan Dewan Negara, Isnin.

Sistem eKasih ialah sistem pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata terdapat lima hospital yang menawarkan kemudahan perubatan nuklear yang mampu meningkatkan proses diagnostik dan pengesanan penyakit serta penambahbaikan rawatan penyakit tertentu.

Ia mencakupi Hospital Pulau Pinang, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya, Hospital Sultanah Aminah di Johor Baharu dan Hospital Umum Sarawak di Kuching.

"Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas akan menawarkan sistem perubatan nuklear seawal tahun depan," kata Rosnah menjawab soalan Senator Datuk Chiw Tiang Chai.

Menurutnya, 16 pakar perubatan nuklear kini berdaftar dengan National Specialist Registry (NSR) dengan lima berkhidmat dengan kementerian, lapan di sektor swasta dan tiga di institusi pengajian tinggi.

Tambahnya, 25 pegawai perubatan kini mengikuti pengajian Sarjana Perubatan Nuklear di Universiti Sains Malaysia. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain