suria

29 Peratus Projek Perumahan Terbengkalai Diselesai - Exco Selangor

SHAH ALAM: Sebanyak 29 peratus daripada 49,451 unit projek perumahan yang bermasalah atau terbengkalai berjaya diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Selangor sejak tahun 2008.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar A. Samad berkata, kejayaan ini menjawab dakwaan mengenai kerajaan negeri Pakatan Rakyat gagal membantu mangsa projek perumahan terbengkalai.

"Kita tubuhkan satu jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT). Sebanyak 14,245 daripada 49,451 unit kediaman dan perniagaan yang terbengkalai dapat diselesaikan atau ada penyelesaian.

"Sebanyak 19 kawasan terlibat di bawah jawatankuasa ini," katanya kepada para pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, Isnin.

Iskandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka berkata, kerajaan negeri melihat terdapat perumahan kos rendah yang dibina di bawah pimpinan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) terdahulu mempunyai masalah.

Beliau mendakwa, terdapat bumbung rumah yang diterbangkan atau bocor, tangki bocor serta masalah paip tersumbat.

"Kerajaan negeri mengambil inisiatif dengan mewujudkan satu program iaitu Program Baik Pulih Negeri Berkebajikan (Ceria).

"Di bawah Ceria ini, kita telah memasukkan lebih 70 kawasan pangsapuri kos rendah dan sederhana untuk dibaik pulih," katanya.

Beliau menambah, separuh daripadanya sedang melalui kerja-kerja baik pulih dan kira-kira 35 kawasan telah pun siap diperbaiki.

"Kita memperuntukkan modal pusingan RM10 juta (untuk kerja-kerja berkenaan) dan ianya akan sentiasa berjalan," katanya.

Menurut Iskandar, terdapat lebih 100 permohonan daripada kawasan pangsapuri kos rendah bagi kerja-kerja baik pulih.

"Ini menunjukkan kawasan perumahan tersebut bermasalah, yang dibina dengan tidak sempurna atau tergesa-gesa. Jadi, kita mengambil inisiatif untuk membaikpulihnya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dedah Imej Sebenar PAS - PM

Artikel Lain