suria

Paras Air Tiga Sungai Di Selangor Melebihi Paras Amaran

KUALA LUMPUR: Hujan di Selangor menyebabkan paras air di tiga sungai utamanya melebihi paras amaran.

Sungai Langat di Batu 12, Hulu Langat mencatatkan bacaan 41.58 meter, Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat mencatatkan 4.09 meter manakala Sungai Selangor di Kuala Badong, Kuala Selangor mencatatkan 3.89 meter setakat 9.30 malam Isnin.

Berikutan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meminta para penduduk di kawasan berkenaan supaya sentiasa berwaspada.

Menurut portal JPS, paras air Sungai Lenik di Ladang Chaah, Batu Pahat di Johor juga melebihi paras amaran apabila mencatatkan bacaan 5.64 meter.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyatakan mangsa banjir di Selangor meningkat kepada 1,357 orang dengan 345 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan iaitu empat di Kuala Langat, satu di Kuala Selangor dan dua di Sepang.

Seramai 26 mangsa di Perak pula ditempatkan di pusat pemindahan di Manjung, 138 mangsa di Johor ditempatkan di pusat pemindahan Batu Pahat manakala 84 orang mangsa ditempatkan di pusat pemindahan di Jasin. -BERNAMA

Artikel Lain