suria

Imigresen P.Pinang Tahan 49 Warga Asing Termasuk Dua Kanak-Kanak

BUTTERWORTH: Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 49 orang warga asing termasuk dua kanak-kanak dalam dua operasi berasingan di Batu Kawan dan Machang Bubuk di sini, awal pagi Jumaat.

Timbalan Penolong Pengarahnya Abdul Rahman Hassan berkata kesemua mereka yang berusia antara lima hingga 50 tahun itu ditahan dalam operasi bermula pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi.

"Hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan, kita menyerbu sebuah kawasan pembinaan di Batu Kawan dan memeriksa sembilan buah rumah serta menahan 10 lelaki warga asing.

"Mereka tinggal di rumah-rumah yang dalam pembinaan di situ dan dipercayai bekerja di tapak pembinaan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau berkata dalam operasi kedua di sebuah tapak pembinaan di Machang Bubuk, pihaknya menahan 39 orang termasuk dua wanita dan dua kanak-kanak lelaki berusia 5 dan 7 tahun.

"Kesemua mereka yang ditahan itu tinggal di rumah kongsi di tapak pembinaan berkenaan," katanya sambil menambah kesemua warga asing berkenaan tidak memiliki pas perjalanan yang sah. Semua tahanan terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar dan Bangladesh itu dibawa ke depo tahanan sementara di Juru untuk siasatan lanjut, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain