suria

CIDB Usul Penubuhan Mahkamah Pembinaan

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengusulkan cadangan penubuhan Mahkamah Pembinaan sebagai maklum balas kepada permintaan industri pembinaan yang mahukan satu saluran khusus untuk menyelesaikan sebarang pertikaian sektor pembinaan.

Sekiranya cadangan penubuhan Mahkamah Pembinaan ini menjadi kenyataan, Malaysia akan menjadi negara kedua di dunia selepas United Kingdom memiliki mahkamah khas yang dikhususkan bagi industri pembinaan.

Ketua Eksekutif CIDB Datuk Seri Dr Judin Abd Karim berkata lembaga itu bekerjasama rapat dengan Majlis Peguam dan ketua-ketua industri untuk memulakan perbincangan mengenai penubuhan mahkamah khas itu, yang akan menumpukan bagi menyelesaikan pertikaian pembinaan teknikal.

"Penubuhan Mahkamah Pembinaan penting bagi sektor pembinaan kerana penyelesaian pertikaian yang pantas selalunya memerlukan pengetahuan selok belok industri dan kerumitan teknikal," katanya dalam satu kenyataan.

Judin berkata para hakim, yang dikhususkan bagi kes perbicaraan pembinaan akan lebih mahir dalam teknikal industri dan akan mampu menyediakan penyelesaian kes yang lebih pantas dan efektif. "Keadilan dalam sektor pembinaan akan diadili lebih baik oleh timbang tara pembinaan, pengadilan berkanun dan mahkamah pembinaan khas seperti yang terbukti dalam sistem keadilan di United Kingdom," katanya.

CIDB baru-baru ini mengadakan sesi taklimat dengan peserta industri pembinaan dan penggubal dasar mengenai cadangan penubuhan Mahkamah Pembinaan dan para peserta memberikan sokongan padu.

"Penubuhan mahkamah khas bukan tidak pernah berlaku sebelum ini di Malaysia kerana badan kehakiman dalam beberapa tahun ini telah menubuhkan Mahkamah Harta Intelektual, Mahkamah Admiralti dan yang terbaharu Mahkamah Alam sekitar atas permintaan kerajaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain