suria

Hayati & Terap Semangat Kemerdekaan - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu setiap rakyat menghayati maksud kemerdekaan dan menerapkan semangat kemerdekaan di jiwa masing-masing.

Beliau berkata rakyat Malaysia mestilah merdeka dalam erti kata menikmati hak sepenuhnya sebagai anak watan sebuah negara bebas dan berdaulat, mempunyai peluang luas membangunkan potensi diri, keluarga dan masyarakat dalam sebuah negara yang aman, stabil dan harmoni.

Merdeka juga bererti memiliki daya fikir hebat dan jiwa kental untuk memajukan bangsa dan negara mengikut acuan sendiri serta bebas menentukan masa depan yang lebih cerah di tanah air tercinta, katanya.

"Saya yakin Malaysia yang merdeka kini berada di landasan yang betul hasil kerjasama dan sikap toleransi serta penerimaan antara rakyat pelbagai kaum dan agama," katanya dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan ke-55, di sini malam Khamis.

Menurut Muhyiddin, komitmen, kesungguhan dan kerja keras semua pihak telah meletakkan Malaysia gah di mata dunia, terutamanya daripada segi mengekalkan keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk yang diiktiraf masyarakat antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa semua nikmat kemerdekaan ini adalah hasil jasa, bakti dan keringat para pejuang kemerdekaan, pemimpin negara dan semua rakyat yang berusaha gigih membangunkan Malaysia dan melaksanakan agenda pengisian kemerdekaan, selama 55 tahun.

Katanya setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab menghargai dan menghayati erti sebenar kemerdekaan negara untuk membolehkan negara bergerak lebih padu dalam mengisi tahun-tahun kemerdekaan seterusnya.

"Marilah kita mengorak langkah bersama-sama mempertahankan kemerdekaan tanah air supaya kedaulatan Malaysia dihormati dan negara kita dipandang tinggi di mata dunia," katanya.

Muhyiddin berkata hasil kegigihan setiap warganegara, insya-Allah lebih banyak kemajuan akan dicapai dan impian menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 dapat direalisasikan.

Sambil mengucapkan selamat menyambut ulang tahun Kemerdekaan ke-55, beliau turut berdoa agar Malaysia dan seluruh rakyatnya terus hidup dalam suasana harmoni, saling hormat-menghormati dan maju jaya. - BERNAMA

Artikel Lain