suria

Polis Melaka Tubuh Pasukan Khas Kesan Suspek Letupkan Mesin ATM

MELAKA: Polis Melaka menubuhkan sebuah pasukan khas bagi mengesan suspek yang meletupkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Bank Rakyat cawangan Bandar Baru Utama Masjid Tanah di sini, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bank itu menunjukkan seorang lelaki yang memakai topi keledar bertutup dan jaket berwarna biru, memasang sesuatu pada sebuah daripada dua mesin ATM di premis tersebut pada pukul 3.23 pagi.

Bom dipercayai buatan sendiri itu meletup pada 3.34 pagi bagaimanapun hanya merosakkan bahagian luar mesin ATM dan gagal memecahkan peti simpanan wang.

"Suspek yang gagal mendapatkan duit daripada mesin ATM itu kemudian melarikan diri," katanya kepada pemberita, di sini Isnin.

Chuah berkata saksi yang tinggal berhampiran premis itu turut mendengar letupan kuat sebelum melihat empat lelaki melarikan diri dengan menaiki dua motosikal dari kawasan kejadian.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pemilik premis berdekatan untuk menjalankan pemeriksaan ke atas CCTV mereka bagi mengenal pasti suspek dan nombor kenderaan yang digunakan.

Katanya polis Melaka juga menerima bantuan daripada pasukan forensik Bukit Aman bagi mengenal pasti bahan letupan yang digunakan dalam kejadian tersebut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi Ibu Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5562222 atau Pegawai Siasatan Supt Shahrul Lalli Masduki di talian 012-2943322, katanya.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat Bank Rakyat cawangan terbabit Norliza Mat Isa berkata kejadian tidak menjejaskan operasi kerana segala urusan perbankan dilakukan di tingkat atas premis tersebut.

"Hanya tingkat bawah yang terlibat dengan letupan itu sahaja ditutup bagi memudahkan kerja pembaikan dilakukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain