suria

Panas & Kering Dijangka Berterusan Sehingga Oktober

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan keadaan panas dan kering di rantau ini berpanjangan sehingga Oktober depan.

Berikutan itu, orang ramai dinasihat tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka bagi memastikan status kualiti udara di seluruh negara berada pada tahap sihat.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataannya pada Isnin menyebut terdapat beberapa kebakaran kecil di negara ini yang menjadi punca kemerosotan kualiti udara setempat seperti di belakang Taman Sains Selangor di Cyberjaya, Jalan Kebun dan Johan Setia, Klang serta berhampiran Lebuhraya Kesas.

Punca kemerosotan juga disebabkan 42 hektar tanah gambut yang masih berasap di kawasan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS), Bestari Jaya.

JAS berkata, Perintah Larangan Pembakaran Terbuka bagi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Tudan, Permai Jaya dan Kuala Baram di Miri, Sarawak masih berkuat kuasa.

Menurut jabatan itu, sehingga 11 pagi tadi, kualiti udara di 51 stesen pengawasan di seluruh negara berada pada tahap sihat.

Sejumlah 22 kawasan berada pada tahap baik, 29 sederhana dan tidak ada kawasan yang mencatat tahap tidak sihat.

Bagaimanapun, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Seberang Jaya, Perai menunjukkan bacaan 100, yang menghampiri paras tidak sihat.

JAS turut menjelaskan kemerosotan kualiti udara di pantai barat Semenanjung Malaysia sejak semalam hingga pagi ini berpunca daripada pencemaran jerebu yang merentasi sempadan.

Ini berdasarkan laporan imej satelit Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC)semalam yang menunjukkan bilangan titik panas di Sumatera, Indonesia ialah 163 berbanding 239 pada Sabtu.

Pengaruh angin monsun barat daya yang bertiup dari kawasan titik panas telah membawa asap jerebu merentasi sempadan, dan menyebabkan kemerosotan kualiti udara terutama di pantai barat Semenanjung.

Laporan peta jerebu serantau ASMC menunjukkan lingkaran jerebu sederhana berlaku di sebelah pantai timur Sumatera Tengah serta memberi kesan kepada negeri di utara Malaysia.

JAS telahpun menggerak serta mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di seluruh negara bagi mengawasi status kualiti udara.

Dalam pada itu, JAS meminta orang ramai melaporkan kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999, dan JAS di talian 1-800-88-2727. - BERNAMA

Artikel Lain