suria

Ijazah Palsu: Polis Rekod Keterangan 40 Individu Termasuk Tan Sri Dan Ahli Politik

SHAH ALAM: Polis telah mengambil keterangan daripada 40 individu termasuk bergelar Tan Sri dan ahli politik bagi membantu siasatan kes pembelian ijazah palsu daripada sebuah syarikat di Subang Jaya.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata mereka yang terlibat dan belum diambil keterangan diminta untuk tampil membantu pihak polis menyelesaikan siasatan kes tersebut.

Beliau memberi jaminan bahawa individu yang tampil memberi keterangan tidak akan ditahan.

"Ijazah ini tidak diiktiraf dan tidak disahkan kerajaan. Oleh itu, kita minta mereka yang terbabit membeli ijazah palsu ini agar tampil ke depan secara sukarela," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, Khamis.

Pada 16 Julai lepas, sebuah akhbar tempatan membongkar kegiatan menjual ijazah palsu oleh institusi pendidikan di Subang Jaya yang mendakwa bekerjasama dengan tiga universiti luar negara sebagai rakan usaha sama mereka.

Dalam laporan itu, institusi terbabit didakwa menawarkan ijazah pada harga RM6,500 bagi sarjana muda, RM8,500 (sarjana) dan RM10,500 (PhD), dan seramai 525 graduan palsu termasuk orang kenamaan telah membeli ijazah itu tanpa perlu menghadiri kuliah, mengambil ujian dan menghantar kertas kerja.

Sementara itu mengenai kes rompakan kedai emas di dalam sebuah pasar raya di Jalan Kebun di sini, semalam, Thaiveegan berkata polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (cctv) yang dipasang di pasar raya berkenaan dan dalam proses mengambil keterangan daripada beberapa saksi di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 11.50 pagi semalam, sekumpulan lelaki bersenjatakan tukul besi, parang dan sejenis alat dipercayai pistol telah merompak kedai emas dengan memecahkan cermin pameran dan melarikan barangan kemas bernilai RM10,000 dalam 40 saat.

Kesemua suspek berpakaian sedondon berwarna kuning berjalur merah dan berjaket hitam serta bertopi keledar tutup muka penuh. - BERNAMA

Artikel Lain