suria

Miliki Dadah: Pelajar Kolej Warga Nigeria Dipenjara Enam Tahun

PETALING JAYA: Seorang pelajar kolej warga Nigeria dihukum penjara enam tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, Khamis selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis dan methamphetamine di sebuah pangsapuri, lima bulan lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Odumegbe Chukwudi Micheal, 27, didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 119.1 gram di No. A-20-1 Pangsapuri KOI Kinrara Puchong, Selangor, pada 7.30 pagi, 19 Februari lepas.

Dia yang diwakili peguam R. Tirukumaran, didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman minimum penjara lima tahun dan maksimum seumur hidup dan sekurang-kurangnya 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia juga didakwa memiliki dadah methamphetamine seberat 0.67 gram, di tempat dan waktu yang sama, dan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah akta sama dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum denda RM100,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali menjatuhi hukuman penjara enam tahun dan 12 sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara setahun bagi pertuduhan kedua dan memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 19 Februari lepas. Terdahulu Tirukumaran dalam rayuan bagi meringankan hukuman memohon mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah anak guamnya dan tertuduh juga telah insaf atas perbuatannya dan ingin pulang ke kampung halamannya selepas ini.

Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah pula memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh kerana jenayah melibatkan dadah semakin berleluasa.

Balkis Aini berkata dalam menjatuhkan hukuman itu, mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh dan juga hujahan pihak pendakwaan.

Sementara itu tujuh lagi rakannya iaitu tiga rakyat tempatan dan empat warga Nigeria mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan yang sama.

Mereka ialah Norelaihan Pardan, Norhasnita Md Kamaludin, Dhiya Raihana Abdul Razak, Azorie Ifeanyi, Gemudu Andy Nnambi, Jude Obodo dan Idris Abdul, yang berusia antara 25 hingga 35 tahun.

Mahkamah menetapkan 9 Ogos untuk sebutan kes itu. -BERNAMA

Artikel Lain