suria

TalentCorp Hubung Rakyat Malaysia Di Taiwan Dengan Peluang Profesional Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) sedang berusaha menghubungkan rakyat Malaysia di Taiwan dengan peluang-peluang profesional di Malaysia.

Ini akan dilakukan menerusi sesi Pembabitan dan Capaian antarabangsa di Taiwan pada 7 dan 8 Julai.

Dalam kenyataan di sini, Selasa, TalentCorp berkata sesi itu meliputi jamuan malan rantaian pada 7 Julai dan jamuan teh pada 8 Julai untuk para profesional penjagaan kesihatan Malaysia, masing-masing di Taipei dan Kaohsiung.

"Sesi pembabitan dan capaian itu juga akan dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, mewakili Kementerian Kesihatan," katanya.

Sempena sesi itu, Pameran Kerjaya Malaysia Taiwan (VCF) anjuran portal pembabitan bakat TalentCorp, MyWorkLife, juga akan diadakan.

Taiwan VCF menawarkan pihak pengambil pekerja dari Malaysia peluang untuk membuat semakan awal kelayakan dan menemui calon sasaran, yang kini bekerja di luar negara.

Ia juga berkata sesi berkenaan berperanan sebagai platform untuk mewujudkan rangkaian berstruktur global.

Ini bukan sahaja memudahkan carian oleh profesional apabila pulang ke tanah air, malah membolehkan syarikat utama Malaysia meneroka kumpulan bakat yang lebih besar bagi memenuhi kehendak industri.

Selain itu, pembabitan ini membantu mewjudkan saluran untuk rakyat Malaysia menyumbang dari luar negara, dan berpotensi memulakan perbincangan yang menjurus kepada idea baharu dari luar negara untuk peluang-peluang perniagaan merentas sempadan.

Jamuan Malam Rantaian Profesional TalentCorp akan menghimpunkan profesional Malaysia dan syarikat penjagaan kesihatan utama seperti KPJ Healthcare, Pantai Parkway Limited dan Makhota Medical Centre.

Acara itu akan meneroka skop usaha sama dan peluang-peluang profesional yang tersedia di Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai program Pembabitan dan Capaian TalentCorp boleh didapati di www.talentcorp.com.my atau www.myworklife.my - BERNAMA

Artikel Lain