suria

Pencari Suaka: Gillard Ketepi Kerjasama Dengan Malaysia Atas Nasihat Pakar

MELBOURNE: Perdana Menteri Australia, Julia Gillard berkata, beliau akan memberi pertimbangan serius terhadap nasihat panel pakar yang meneliti isu pencari suaka, termasuk syor supaya diketepikan persetujuan pertukaran pencari suaka dengan kerajaan Malaysia.

Minggu lepas, Gillard menubuhkan panel berkenaan yang dianggotai bekas ketua pertahanan Angus Houston, bekas diplomat utama Michael L'Estrange dan penasihat mengenai orang pelarian Paris Aristotle untuk membuat penilaian tentang semua opsyen berkaitan dasar suaka.

Panel itu akan meneliti persetujuan yang dicapai dengan Malaysia dan dasar yang menjadi pilihan pembangkang - membuka semula Nauru, memperkenal semula visa perlindungan sementara dan penggunaan bot untuk menunda semula bot yang membawa pencari suaka - dan mengemukakan laporan mengenainya kepada kerajaan serta parlimen pada Ogos.

"Saya tidak akan membuat keputusan tanpa menimbang dengan teliti cadangan mereka," katanya kepada ABC Television pada Ahad.

Pada Jumaat, pemimpin pembangkang Tony Abbott berkata, walaupun semua anggota panel itu terdiri daripada rakyat Australia "yang amat berwibawa", beliau tetap akan berpegang teguh dengan pendiriannya, tanpa mengambil kira pendapat panel itu.

Kata Gillard pendirian Abbott itu menunjukkan dengan jelas "pandangan serta wataknya".

"Apakah jenis manusia, yang walaupun sudah melihat sendiri penderitaan, kesakitan, kematian dan mendengar sendiri nasihat yang disuarakan para pakar, tetapi tetap tidak mahu mengubah fikirannya walau sedikit pun?

"Manusia jenis apakah yang sanggup bersikap demikian?, katanya.

Minggu lepas, parlimen negara ini gagal mendapat kelulusan bagi undang-undang yang memberi semula kuasa kepada kerajaan untuk menghantar pencari suaka ke luar pesisir, walaupun kira-kira 100 nyawa telah terkorban apabila dua bot dilanda bencana dalam tempoh dua minggu lepas. - BERNAMA

Artikel Lain