suria

Wanita Warga Asing Ditahan Tawarkan Perkhidmatan Seks

KUALA LUMPUR: Polis telah menahan 33 suspek warga asing yang disyaki menjalankan aktiviti menawarkan perkhidmatan seks di sebuah pusat hiburan di Jalan Bukit Bintang di sini dalam satu operasi bersepadu awal pagi Jumaat.

Dan sebahagian besar daripada mereka yang ditahan itu didapati memasuki negara ini menggunakan visa pelajar.

Mereka yang ditahan oleh Bahagian D7 Bukit Aman pada jam 1.30 pagi tadi itu terdiri daripada warga Uzbekistan (15 orang), Tajikistan (15), Kyrgyzstan (1) dan Thailand (2).

Wanita-wanita berkenaan yang berumur antara 23 hingga 36 tahun mendakwa mereka adalah pelajar kolej swasta yang terdapat di sekitar sini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian D7 Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan memberitahu satu sidang akhbar di sini, pemeriksaan awal mendapati sebahagian daripada mereka mendaftar diri sebagai pelajar asing di sini tetapi tidak pernah menghadiri kelas pengajian masing-masing.

"Mereka mendaftar sebagai pelajar hanya untuk memperolehi kad pelajar bagi membolehkan mereka menyembunyikan aktiviti sebenar mereka di negara ini.

“Siasatan kami juga mendapati, mereka mengenakan caj bayaran sehingga RM500 untuk perkhidmatan yang diberikan," ujarnya.

Adalah difahamkan, sebahagian besar pelanggan-pelanggan mereka adalah warga asing.

Artikel Lain