suria

Dua Lelaki Ditahan Berhubung Kematian Warga Afrika

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan yang mengakibatkan kematian seorang warga Afrika berhampiran sebuah restoran di Bukit Puchong, Damansara Damai pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt Meor Hamdan Meor Mohamad berkata kedua-dua lelaki yang berumur 29 dan 40 tahun itu ditahan di sekitar kawasan pergaduhan beberapa jam selepas kejadian itu.

"Setakat ini polis masih tidak dapat mengenal pasti identiti si mati kerana laporan bedah siasat belum diperolehi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Beliau berkata polis masih menyiasat motif pergaduhan yang berlaku pada 5.30 petang itu manakala tiga lagi individu yang dipercayai turut terlibat masih dicari.

Katanya polis yang tiba di tempat kejadian mendapati warga Afrika itu sudah berada dalam keadaan tidak bermaya akibat dibelasah oleh kumpulan orang tertentu, namun dia mati tidak lama kemudian.

Meor Hamdan berkata mayat warga Afrika itu masih berada di Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat. -BERNAMA

Artikel Lain