suria

PM Mahu Syarikat Tempatan Muncul Juara Serantau

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat lebih banyak syarikat tempatan muncul sebagai juara serantau memandangkan kini terdapat terlalu banyak perusahaan mikro.

"Syarikat-syarikat perlu keluar dan menjadi juara, menjadi inovatif, guna amalan perniagaan terbaik dan mempunyai keupayaan untuk bersaing, bukan pada asas buruh murah," katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Invest Malaysia 2012 di sini, Selasa.

Najib berkata, terdapat peluang besar dalam industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi, dan projek teroka baharu, yang memerlukan lebih banyak pemodal teroka untuk membiayai projek.

Mengenai Perkongsian Trans Pasifik (TPP) bersama Amerika Syarikat, Perdana Menteri berkata, Malaysia mahu menjadi anggota dan berharap dapat memuktamadkan TPP dalam tempoh terdekat.

"Kita perlu melihat keperluan domestik," katanya.

Najib juga berkata dalam Asean, negara anggota perlu bergerak ke depan untuk lebih bersepadu.

Beliau berkata, perubahan peraturan merupakan arah tuju yang salah memandangkan wujud potensi risiko tindakan balas oleh negara di rantau ini, yang akan menjejaskan penyepaduan Asean. - BERNAMA

Artikel Lain