suria

Gaji Minimum Tidak Beri Kesan Kepada Pekerja Lembah Klang

PETALING JAYA: Pengumuman gaji minimum RM900 sebulan oleh kerajaan hanya memberi kesan kecil kepada pekerja di Lembah Klang.

Pembantu dapur, Samsiah Ahmad, 17, yang bekerja di sebuah restoran di Pelabuhan Klang berkata beliau kini menerima bayaran gaji sebanyak RM800 sebulan.

"Jadi dengan pelaksanaan gaji minimum ini saya hanya akan mendapat pertambahan sebanyak RM100," kata Samsiah yang terpaksa menamatkan pengajian di tingkatan dua bagi membantu keluarganya.

Majikannya, Hafizah Hamdan, 27, berkata beliau membayar pekerja tempatannya gaji permulaan sebanyak RM800 sebulan dengan tawaran kenaikan tahunan.

"Kadar gaji semasa yang saya berikan sekarang adalah antara RM800 ke RM900. Jadi pengumuman gaji minimum tidak memberi kesan kepada saya kerana kenaikan RM100 memang sudah dibuat," katanya.

Sementara itu Joanne Tai, 31, yang mengendalikan perniagaan menjual pakaian milik keluarga berkata beliau sememangnya dibayar gaji RM900 sebulan.

"Kami menerima gaji permulaan sebanyak RM900 dan diberi kenaikan RM100 selepas dua bulan tempoh percubaan," katanya.

Jururawat klinik, Sarjet Kaur, 36, berkata klinik di Klang membayar gaji permulaan antara RM800 ke RM900 sebulan.

"Sudah beberapa tahun saya bekerja dengan majikan saya sekarang, dan saya menerima gaji lebih RM1,000 sebulan," katanya sambil menambah gaji di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur lebih tinggi.

Artikel Lain