suria

Hukuman Mati Terhadap Dua Pembunuh Pelajar Kolej Kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman mati terhadap seorang wanita dan teman lelakinya kerana membunuh pelajar Kolej Islam Antarabangsa Juliana Md Fuzi, lima tahun lepas.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad berkata, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak melakukan sebarang kekhilafan dalam penemuan faktanya apabila mensabitkan kesalahan mereka.

Katanya, Mahkamah Rayuan tidak mempunyai peluang untuk membuat penilaian tentang tingkah laku saksi seperti yang dimiliki hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

"Kami tidak mempunyai alasan untuk mengatakan bahawa sabitan kesalahan itu adalah tidak wajar," kata Syed Ahmad Helmy ketika menolak rayuan Noralina Ahmad Dasuki dan Muhammad Khairul Anuar Abdullah.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Abdul Wahab Patail dan Hakim Datuk Mohtaruddin Baki.

Pada 14 Julai 2009, Noralina, 25, bekas pelajar Pusat Pengurusan dan Teknologi Lanjutan di Shah Alam, dan Muhammad Khairul, 27, bekas pekerja sebuah stesen televisyen kabel, didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Juliana, 20, di sebuah unit Pangsapuri Sunrise, Wisma Indah, Jalan Tun Razak di sini antara pukul 10 malam 23 Mac 2007, dan pukul 8 malam hari berikutnya.

Mangsa adalah rakan Noralina.

Pada 7 Julai 2009, Muhammad Khairul disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Sesyen bagi dua tuduhan merogol Juliana sebelum kematian mangsa dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan.

Mayat Juliana ditemui dalam keadaan tertiarap di lantai sebuah bilik dengan tangannya diikat dengan kabel ke belakang, manakala satu kabel lagi membelit lehernya.

Bedah siasat oleh ahli patologi forensik Dr Mohamed Swarhib @ Aung Thu Ya mendapati Juliana meninggal dunia akibat dijerut.

Noralina diwakili peguam Karpal Singh dan Sangeet Kaur Deo, manakala Muhammad Khairul diwakili peguam Afifuddin Hafifi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Huda Noraini Mohamed Noor. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain