suria

Polis Cari Lelaki Bantu Siasat Kes Bunuh

KOTA KINABALU: Polis sedang mencari seorang lelaki untuk membantu penyiasatan satu kes pembunuhan seorang suri rumah di Km39 Jalan Kalabakan-Keningau pada 7 April lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Omar Mammah berkata, Muhammad Osman, 40, dikehendaki polis yang menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

“Kami percaya lelaki ini dapat membantu siasatan pembunuhan ke atas Sang Sui Fong, berusia 45 tahun yang ditemui dengan beberapa kesan tikaman pada badan di tepi Perodua Kenari miliknya," kata Omar di satu sidang akhbar di sini, Isnin.

Beliau berkata, setakat ini polis menahan tiga orang berumur antara 24 hingga 56 tahun pada 10 April bersabit dengan kes tersebut.

Katanya, mangsa seorang penjual sarang burung sedang dalam perjalanan ke Keningau untuk urusan perniagaan apabila dia dirompak dan dibunuh kira-kira 8 pagi pada 7 April.

Dalam kes lain, dua warga asing telah ditahan bagi membantu penyiasatan ke atas kematian seorang pegawai Felda Umas, yang mayatnya ditemui di Sungai Umas, Tawau, pada 10 April.

Omar berkata, kedua-dua lelaki berumur 37 dan 40 tahun itu ditahan sehari sebelum mayat pegawai itu ditemui selepas laporan dibuat pada 7 April mengenai kehilangannya.

Beliau berkata, Sudoh Hamadad, 52, kali terakhir dilihat di satu program kerja pembersihan di Felda Umas, pada hari dia dilaporkan hilang.

Omar berkata, polis menemui mayatnya terapung di sungai kira-kira 15 kilometer dari ladang Felda tersebut pada kira-kira 9.30 pagi.

Menurutnya, badan mangsa dilihat mempunyai kesan calar dan dompet, cincin dan telefon bimbitnya dipercayai dirompak. - BERNAMA

Artikel Lain