suria

Empat Motosikal Terbakar Dipercayai Perbuatan Khianat

GEORGE TOWN: Penghuni blok 1A, Desa Delima, Air Itam di sini, gempar apabila empat buah motosikal yang diletakkan di tempat letak kenderaan di situ musnah terbakar dalam kejadian awal pagi Khamis.

Kejadian yang berlaku pada pukul 1.45 pagi ketika penduduk sedang nyenyak tidur itu dipercayai perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata kebakaran itu berlaku apabila salah sebuah motosikal yang ditempatkan di situ terbakar sebelum merebak ke tiga motosikal lain yang berada bersebelahnya. "Tiga buah motosikal musnah teruk manakala sebuah lagi hanya terbakar di bahagian tayar dan hadapan motor dalam kebakaran itu," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Beliau berkata siasatan lanjut berdasarkan Seksyen 435 Kanun Keseksaan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dan mereka yang terlibat dalam kejadian berkenaan.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadamkan kebakaran berkenaan.

"Ketika pihak bomba sampai api sedang marak dan kita berjaya mengawal kebakaran sebelum merebak ke motosikal lain," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain