suria

Berita Baik Menanti 40,000 Pengusaha & Pemandu Teksi

SUNGAI PETANI: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mengumumkan berita baik kepada 40,000 pengusaha dan pemandu teksi di seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, berita baik itu akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh terdekat.

"Perdana Menteri sentiasa prihatin terhadap nasib pemilik dan pemandu teksi.

"Hanya minggu lalu, beliau bertanya kepada saya apa lagi yang boleh dilakukan untuk membantu pengusaha dan pemandu teksi ini," katanya dalam majlis perjumpaan bersama peniaga kecil dan pemandu teksi di Taman Ria Jaya di sini, pagi Khamis.

Tanpa memperincikan perkara itu, Muhyiddin berkata pengumuman itu mungkin berupa tawaran baru kepada pengusaha dan pemandu teksi di seluruh negara.

Muhyiddin memulakan lawatan seharinya ke Sungai Petani, Gurun dan Alor Setar pada Khamis dengan mengadakan perjumpaan khas bersama peniaga kecil dan pemandu teksi di Taman Ria.

Selepas majlis di sini, Muhyiddin akan mengadakan perjumpaan khas bersama pemimpin peladang dari seluruh Kedah di Kilang NPK Fertilizer, Gurun.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran kemudiannya bergerak ke Alor Setar untuk mengadakan perjumpaan bersama warga Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil seluruh negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Keat Hwa 2.

Muhyiddin mengakhiri lawatannya dengan mengadakan perjumpaan bersama masyarakat nelayan di Kompleks LKIM, Kuala Kedah.

Artikel Lain