suria

Pemandu Lori Kicap Maut Dalam Kemalangan Di Lebuhraya Utara-Selatan

NILAI: Seorang pemandu lori maut dalam kemalangan melibatkan sebuah lori dan dua buah treler di Kilometer 282.7, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara berdekatan susur keluar Nilai di sini, Rabu.

Jurucakap polis berkata kejadian kira-kira pukul 8.20 pagi itu, mengakibatkan mangsa Md Norsah Aziz, 35, mengalami kecederaan teruk di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dibawa keluar oleh anggota bomba.

Katanya siasatan awal mendapati Md Norsah yang memandu lori membawa muatan kicap ketika itu sedang dalam perjalanan dari arah Johor menuju ke Kuala Lumpur.

"Mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar sebuah treler membawa muatan pasir di depannya. Lori mangsa kemudiannya dilanggar pula oleh sebuah lagi treler tanpa muatan yang datang dari arah belakang, hingga menyebabkan tubuhnya tersepit.

"Mangsa yang berasal dari Johor itu mati di tempat kejadian berikutan mengalami kecederaan teruk di kepala. Kedua-dua pemandu treler tersebut berusia lingkungan 40-an bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan serius," katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik Balai Polis Nilai di talian 06-7991222 atau balai polis berhampiran. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain