Nalla Terima Surat Berunsur Ugutan Sejak Dedah Peribadi Anwar - Semasa | mStar

Nalla Terima Surat Berunsur Ugutan Sejak Dedah Peribadi Anwar

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) Datuk S.Nallakaruppan menerima sepucuk surat berunsur ugutan setelah beliau mendakwa penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin biseksual baru-baru ini.

Katanya, surat tersebut diterima pada pukul 12 tengah hari Selasa dan dialamatkan ke Parlimen Malaysia, bukan ke rumahnya di Bukit Tunku, namun beliau mendakwa surat tersebut kemudiannya dihantar seseorang ke kediaman beliau.

"Isi kandungan surat satu muka surat yang bertulisan tangan itu sangat marah dengan kenyataan saya mengenai Anwar malah penulis mengugut saya dan peguam saya, Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah, untuk 'berhati-hati'.

"Dalam surat itu juga ada disebut perkataan 'pariah' dan saya tidak tahu mengapa ia digunakan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sentul, di sini, Rabu.

Pada Khamis lepas, media tempatan melaporkan, Nallakarupan yang juga anggota Dewan Negara berkata beliau tetap dengan pendiriannya bahawa Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana Ketua Pembangkang itu seorang biseksual.

Bekas rakan karib Anwar itu juga berkata beliau sanggup disaman walaupun RM500 juta kerana mendakwa mempunyai bukti yang boleh menyokong kenyataannya dan bersedia mendedahkannya di mahkamah.

Nallakaruppan berkata sejak pendedahannya mengenai pemimpin pembangkang itu, beliau menerima pelbagai jenis ugutan.

"Antaranya seperti panggilan palsu malah kenderaan saya juga pernah dihalang dan diberhentikan oleh individu yang tidak dikenali.

"Saya tidak takut dengan ugutan-ugutan itu kerana saya memberitahu perkara yang benar dan saya tetap dengan pendirian saya," katanya.

Beliau berkata laporan polis dibuat bagi memastikan keselamatan keluarganya terjamin dan polis dapat menyiasat pemilik tulisan tangan tersebut dan mengenal pasti individu yang menghantar surat itu.

Beliau yang tiba pada pukul 12.55 tengah hari bersama-sama kira-kira 30 penyokongnya mengambil masa setengah jam untuk mengemukakan laporan tersebut. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

default image

Zahrain Berkeras Kemuka Usul LGBT

default image

Giliran Idris Jala Pula Jadi Guru

Artikel Lain