suria

Malaysia Cadangkan Pemindahan Banduan Dengan Indonesia

JAKARTA: Pemindahan banduan antara Malaysia dan Indonesia merupakan antara perkara yang akan dibincangkan lanjut oleh Jawatankuasa Bersama Malaysia-Indonesia tentang Jenayah Lintas Negara dan Kerjasama Antara Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat ini.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, beliau telah menyuarakan cadangan itu kepada pihak Indonesia dan mereka menyambut baik.

Abdul Gani berkata, beliau melihat perkara pemindahan banduan itu untuk kebaikan kedua-dua negara termasuk memberi kemudahan kepada keluarga banduan untuk melawat mereka di penjara di negara asal mereka sendiri.

"Saya sedang melihat perkara itu dan saya bercadang untuk membincangkannya lebih lanjut dengan Jaksa Agung (Peguam Negara Indonesia)," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berada di sini untuk lawatan empat hari bersama delegasi lima orang pegawainya. Pada Isnin lalu Jabatan Peguam Negara Malaysia dan Jabatan Peguam Negara Indonesia telah menandatangani perjanjian bagi kerjasama aktiviti perundangan.

Abdul Gani berkata, beliau akan terlebih dahulu berunding dengan pihak Kementerian Dalam Negeri Malaysia berhubung cadangan pemindahan banduan itu.

Sekiranya ada persetujuan bersama antara Malaysia dan Indonesia mengenai cadangan itu, ia harus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya, dan kedua-dua belah pihak perlu meninjau sistem tahanan di penjara di kedua-dua negara terlebih dahulu.

"Inilah antara perkara yang saya ingin lihat hasilnya dalam masa enam bulan ke hadapan ini," katanya.

Perjanjian kerjasama yang ditandatangani antara Jabatan Peguam Negara Malaysia dan Indonesia itu segera dimanfaatkan dengan mesyuarat Jawatankuasa Bersama itu pada Isnin dan kedua-dua belah pihak sepakat untuk mengadakan mesyuarat kumpulan kerja sebulan sekali dalam tempoh enam bulan ke hadapan bagi menyelesaikan pelbagai persoalan undang-undang.

Abdul Gani berkata, perjanjian kerjasama itu telah dapat mewujudkan mekanisme bagi pertukaran maklumat tentang rakyat dari kedua-dua negara yang menghadapi persoalan undang-undang seperti mereka yang ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atau menjadi mangsa perbuatan jenayah.

Mereka juga berbincang tentang bantuan perkhidmatan peguam seperti dari Biro Bantuan Guaman kepada warganegara Indonesia dan Malaysia yang menghadapi tuduhan di mahkamah di negara masing-masing.

"Yang paling mustahak ialah supaya tidak ada salah faham kenapa seseorang itu kena tangkap atau kenapa dia dituduh atau bila ada rakyat Indonesia misalnya menjadi mangsa jenayah, kita tuduh rakyat Malaysia atau tidak, jadi pertukaran maklumat yang awal ini adalah sangat baik," katanya.

Jawatankuasa bersama itu berbincang daripada sudut undang-undang tentang bagaimana kedua-dua belah pihak dapat menjalankan tugas masing-masing dengan sebaik-baiknya, supaya tidak timbul salah faham.

Abdul Gani berkata, beliau telah meminta Jaksa Agung (Peguam Negara) Indonesia Barief Arief supaya menempatkan pegawainya di Jabatan Peguam Negara Malaysia agar mereka dapat berhubung terus dengan warga negara Indonesia yang ditangkap dan sedang menjalani proses undang-undang di Malaysia.

Satu lagi perkara yang sedang dibincangkan oleh jawatankuasa bersama itu ialah tentang perkhidmatan pemulihan oleh pihak kedutaan besar kedua-dua negara terhadap banduan warga negara mereka sebelum pembebasan setelah menjalani hukuman penjara yang lama seperti 10 hingga 20 tahun.

"Kalau sudah 20 tahun dalam penjara, mungkin dia tidak lagi dapat mengenali kampungnya," katanya.

Peguam Negara berkata, perkara itu masih dalam perundingan namun apa yang dicadangkan ialah enam bulan atau setahun sebelum banduan itu dibebaskan, ada pegawai dari kedutaan besar yang akan berjumpa dengannya dan memberi ceramah misalnya tentang keluarga dan kampung halamannya sebagai persediaan untuk dia menjalani kehidupan biasa kelak tanpa sebarang masalah.

Persoalan tentang masalah nelayan yang menangkap ikan secara haram di perairan negara masing-masing turut dibincangkan untuk menentukan takrifan yang akan digunakan untuk kesalahan itu kerana nelayan yang menggunakan perahu dan nelayan yang menggunakan bot pukat tunda adalah berbeza keadaannya.

Antara perkara yang akan dilihat, kata Abdul Gani ialah kepentingan untuk mengenal pasti sama ada nelayan berkenaan mempunyai niat jahat atau dengan melihat kes-kes secara tulen bagi pertuduhan yang akan dikenakan kerana ada banyak pilihan tuduhan seperti menangkap ikan secara haram atau menceroboh.

Jawatankuasa itu turut melihat persoalan undang-undang berkaitan kegiatan pengedaran narkotik, terrorisme, pembalakan haram dan jenayah alam sekitar.

"Saya telah membangkitkan isu itu dengan mereka yang mana saya amat prihatin. Jenayah Alam Sekitar termasuk penyeludupan tanggungjawab hidupan liar daripada Indonesia. Kita sebagai sebuah negara mesti menghormati kewajipan kita di peringkat antarabangsa. Bagaimana kita nak membendung perkara ini ialah kita mesti bekerjasama," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain