Siasatan Berhubung Serangan Terhadap Wee Ka Siong Selesai - Polis - Semasa | mStar

Siasatan Berhubung Serangan Terhadap Wee Ka Siong Selesai - Polis

KUALA LUMPUR: Polis Selangor telah melengkapkan siasatan berhubung kejadian serangan ke atas Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong pada satu perhimpunan pendidikan Cina di Kajang pada Ahad lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata laporan mengenai kes itu akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya pada Isnin ini untuk tindakan seterusnya.

"Seramai 25 saksi dipanggil memberi keterangan dan setakat ini tiada sebarang tangkapan atau rampasan dibuat," katanya dalam satu kenyataan, di sini Jumaat.

Kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan adalah susulan empat laporan polis yang dibuat selepas kejadian tersebut.

Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan Wee diserang dan diusir dari perhimpunan itu yang dianjurkan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu (Dong Zong) bagi membantah berhubung isu kekurangan guru sekolah Cina.

Wee dilaporkan hadir ke perhimpunan tersebut bagi mendapatkan maklum balas.

Sehari selepas kejadian, Wee yang juga Ketua Pemuda MCA dilapor berkata beliau memaafkan penyerangnya dan meminta isu tersebut tidak dipolitikkan. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Luiz dedah punca pindah ke Arsenal