suria

Kementerian Kesihatan Akan Perkenal Tauliah Ahli Farmasi Melalui Pensijilan BPS

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan sedang meneliti untuk memperkenalkan satu lagi tahap pentauliahan bagi ahli farmasi klinikal melalui pensijilan dengan Lembaga Pakar Farmasi Amerika (BPS).

Timbalan Pengarah Bahagian Perkembangan dan Amalan Farmasi kementerian itu Abida Haq berkata dengan bantuan pakar dari Kolej Farmasi Klinikal Amerika, kumpulan perintis farmasi klinikal akan menjalani kursus persediaan dan seterusnya mengambil peperiksaan BPS, Oktober ini.

"Perbincangan sedang dijalankan untuk ujian itu diadakan di Malaysia bagi membolehkan lebih ramai ahli farmasi dapat menduduki ujian itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Abida berkata Malaysia berharap untuk menjadi sebuah pusat latihan bagi ahli farmasi di rantau Asean melalui pengiktirafan ahli farmasi klinikal tempatan dan pengwujudan pusat kecemerlangan dalam pelbagai disiplin fasmasi di hospital-hospital kementerian.

Di seluruh dunia, peranan ahli farmasi telah berubah daripada hanya terlibat dalam pemerolehan dan pengagihan ubatan untuk menjadi anggota penting dalam pasukan penjagaan kesihatan dan terlibat secara langsung dalam penjagaan pesakit bersama-sama ahli profesional penjagaan kesihatan yang lain.

"Malah hari ini, ahli farmasi Malaysia dalam sektor awam terlibat dalam menjalankan kajian semula rawatan perubatan, kaunseling dan memantau pesakit bagi mengoptimumkan terapi ubatan, memeriksa pematuhan kepada terapi ubatan dan memantau reaksi teruk terhadap ubatan.

"Bidang-bidang di mana ahli farmasi sudahpun terlibat dalam pengurusan ubatan termasuk diabetes, kardiologi, sakit buah pinggang, lelah, psikiatri dan ubatan untuk pesakit geriatrik," katanya.

Beliau berkata persidangan dua hari diadakan di sini pada 24 dan 25 Mac bagi mempertimbang untuk melahirkan ahli farmasi yang membuat pengkhususan dalam pelbagai disiplin dalam bidang perubatan pada masa depan. - BERNAMA

Artikel Lain