suria

Kecederaan Suspek Kes Bakar Kereta Bukan Akibat Dipukul Orang Ramai - Polis

KUALA LUMPUR: Polis pada Rabu menafikan kecederaan di bahagian kepala yang dialami suspek kes bakar 18 buah kenderaan mewah yang ditahan Sabtu lalu adalah akibat dipukul orang ramai.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh sebaliknya berkata, kecederaan yang dialami suspek berusia 42 tahun itu akibat terjatuh dari motosikal yang ditunggang laju ketika cuba melarikan diri daripada pihak polis yang mengejarnya.

"Kita dengar pelbagai spekulasi, sebenarnya kecederaan itu berpunca dari suspek jatuh motor...saya rasa suspek pakai topi keledar, cuma dia menunggang motosikal dengan laju dan menyebabkan topi keledarnya tertanggal lalu suspek cedera di kepala," katanya kepada pemberita selepas "Program Meet and Greet" di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Beliau juga berkata tempoh reman suspek yang berakhir pada Rabu akan dilanjutkan.

"Reman suspek berakhir hari ini (28 Mac) tapi kita akan sambung reman berikutan kita masih mengesan ahli keluarga suspek untuk membantu siasatan...kita tidak dapat pastikan lagi sama ada suspek mengalami masalah mental atau tidak, kita masih menyiasat," katanya.

Kes bakar kenderaan mewah semakin berleluasa di ibu negara melibatkan kenderaan jenis Skoda Octavia, BMW 523i, Kia Sorento serta Honda Accord dan sebanyak 18 kes telah dilaporkan sejak dua minggu lepas.

Beliau berkata suspek dipercayai memancitkan tayar terlebih dahulu sebelum bertindak membakar kenderaan menggunakan petrol dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan menggunakan api.

Dalam pada itu, Mohmad dalam lawatan selama satu jam ke TBS berkata, sepanjang terminal itu beroperasi hanya ada beberapa kes jenayah kecil yang dilaporkan seperti kehilangan motosikal, menunjukkan tindakan polis mewujudkan balai polis di terminal tersebut dan menambah bilangan polis bantuan telah membuahkan hasil.

"Lawatan hari ini (Rabu) bertujuan melihat TBS itu sendiri, dan alhamdulillah saya lihat tahap keselamatannya setanding dengan negara luar," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain