suria

Pemimpin PKR Diminta Perjelas Dakwaan Hantar SMS Tak Perlukan Undi Kaum India

ALOR SETAR: Anggota Parlimen Merbok Datuk Rashid Din daripada Parti Keadilan Rakyat pada Khamis diminta menjelaskan sama betul atau tidak beliau menghantar satu SMS menyatakan tidak memerlukan sokongan pengundi kaum India.

Pengerusi Barisan Nasional Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata sekiranya kenyataan itu tidak benar, Rashid harus tampil menafikannya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar di sini bagi meminta Rashid menjelaskan mengenai SMS berkenaan yang didakwa dihantarnya kepada seorang pemimpin sebuah kuil di Sungai Petani.

Di KULIM, Pengerusi MIC Kedah S. Ananthan berkata jika benar SMS datang daripada Rashid, ia membuktikan bahawa sokongan masyarakat India di Kedah kepada pakatan pembangkang sebenarnya tidak dihargai langsung.

Katanya beliau yakin 70 hingga 80 peratus daripada 21,000 pengundi kaum India di dua kawasan Dewan Undangan Negeri di Kedah iaitu Bukit Selambau dan Lunas kini menyokong Barisan Nasional hasil aktiviti turun padang oleh pemimpin BN.

Rashid tidak dapat dihubungi untuk memberi penjelasan. - BERNAMA

Artikel Lain