suria

Pelancong China Didakwa Curi Jam Tangan Mewah Di Star Hill Gallery

KUALA LUMPUR: Seorang pelancong warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini Khamis atas pertuduhan mencuri jam tangan mewah bernilai RM114,000 dari sebuah kedai di Jalan Bukit Bintang, dua minggu lepas.

Deng Xiaboa, 40, didakwa melakukan perbuatan itu bersama dua lagi rakan yang masih bebas di The Hour Glass Sdn Bhd, Star Hill Gallery pada 12.30 tengah hari, 8 Mac lepas, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam V.Samynathan, mengaku tidak bersalah.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dan menetapkan 2 Mei untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya S.Malini Anne menawarkan jaminan sebanyak RM120,000 dengan dua penjamin warga Malaysia, namun Samynathan memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu kepada RM5,000 kerana tertuduh mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, seorang penganggur dihukum penjara empat bulan dan denda RM200 kerana mencuri enam keping coklat bernilai RM49.74 di sebuah pasar raya di Jalan Putra.

Majistret Mohd Azali Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Azil Al Jefri, 19, selepas tertuduh mengaku melakukan kesalahan tersebut di The Mall pada 7.10 malam, 20 Mac lepas.

Bagaimanapun, Muhamad Azil, yang tidak diwakili peguam, diperintah menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap iaitu pada 20 Mac.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Loh Wei Dhin. - BERNAMA

Artikel Lain