suria

Lima Remaja Myanmar Mangsa Culik Dibawa Ke Malaysia Untuk Beri Keterangan

PETALING JAYA: Lima remaja Myanmar yang turut menjadi mangsa culik bersama-sama seorang lagi remaja perempuan Malaysia yang ditemui di Bangkok, Thailand, dibawa ke negara ini pada Khamis bagi membantu siasatan kes itu.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata tiga remaja lelaki dan dua remaja perempuan yang berusia antara 14 dan 16 tahun itu dibawa dari Padang Besar di sempadan negara untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu.

"Kita bawa mereka masuk hari ini untuk bantu kita beri keterangan berhubung kejadian itu memandangkan remaja Malaysia yang turut menjadi mangsa culik itu masih dalam keadaan trauma dan tidak dapat memberi keterangan buat masa ini.

"Kita mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku...kami harap keterangan mereka dapat membantu kami mengesan sekumpulan lelaki yang menculik mereka," katanya kepada pemberita selepas program tinjauan mesra bersama-sama penduduk Bandar Puteri, Puchong dekat sini, Khamis.

Turut hadir Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah.

Remaja berusia 14 tahun itu dilapor hilang pada 30 Jan lepas setelah ibunya, Norazura Roski, 37, menghantar mangsa ke sebuah perhentian bas di Seksyen 9 untuk ke rumah kawannya.

Ibunya kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 31 Jan apabila anak gadisnya itu tidak pulang ke rumah.

Remaja itu menghubungi ibunya pada 12 Mac lepas dan memaklumkan dia berada di Thailand selepas diculik sekumpulan lelaki di stesen bas di Seksyen 9 di sini dan dapat melarikan diri sebelum diselamatkan polis Thailand pada 11 Mac di Stesen Keretapi Hua Lampong, Bangkok, bersama-sama lima rakyat Myanmar itu.

Sementara itu, Zulkifli berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memohon RM850 juta daripada kerajaan bagi membangunkan kompleks-kompleks pejabat, perumahan dan balai-balai polis di bawah Rancangan Malaysia ke-10.

Beliau berkata PDRM juga akan melaksanakan penggunaan lampu kecemasan kereta pelbagai guna (MPV) polis, yang diubah daripada warna biru kepada warna pelangi, di negeri-negeri 'hotspot' seperti Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

Selain itu, katanya PDRM akan membekalkan vest keselamatan berlampu kepada semua anggota dalam usaha merealisasikan konsep "omnipresence" polis di kalangan masyarakat. - BERNAMA

Artikel Lain