suria

Dua Lelaki Miliki Kereta Curi, Dadah Ditahan

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai pengedar dadah dan merampas beberapa jenis bahan terlarang itu dalam satu operasi sekatan jalan raya berhampiran hentian sebelah Juru Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, awal pagi Khamis.

Pegawai Turus Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang, Inspektor Rohizat Halim berkata, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30an itu ditahan pukul 3 pagi oleh Skuad Peronda Elit yang membuat sekatan berkenaan.

"Pasukan polis menahan kereta Proton Waja yang dinaiki dua lelaki itu selepas melihat ia berada dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan awal mendapati kenderaan itu dilaporkan hilang di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada bulan Oktober tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.

Rohizat berkata, selepas memeriksa dalam kereta tersebut polis menjumpai dua paket dadah jenis syabu dan heroin serta dua tiub dadah.

"Selain itu turut ditemui empat lesen kenderaan motor palsu dalam kereta dan polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu menjadi anggota sindiket curi kereta," katanya.

Kedua-dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes dadah dan mencuri. - BERNAMA

Artikel Lain