suria

Umno Permatang Pauh Yakin Mampu Beri Saingan Hebat Pada PRU-13

PERMATANG PAUH: Umno Permatang Pauh yakin mampu memberi tentangan hebat kepada calon pembangkang pada pilihan raya umum akan datang, berdasarkan sambutan masyarakat di situ terhadap Barisan Nasional (BN) sekarang.

Ketuanya Datuk Abdul Jalil Abdul Majid berkata penduduk kini mula memberi reaksi postif terhadap program yang dianjurkan Umno berbanding empat tahun lepas.

"...kita boleh lihat reaksi atau bahasa tubuh mereka mereka yang semakin positif terhadap aktiviti-aktiviti parti," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat mengenai Gelombang Biru PRU13 (pilihan raya umum ke-13), di sini, Ahad.

Katanya Umno Permatang Pauh kini bekerja keras bagi merampas kembali kerusi parlimen kawasan itu serta dua kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang dikuasai pembangkang, selain mempertahankan kerusi DUN Seberang Jaya yang kini diwakili Datuk Arif Shah Omar Shah.

Kerusi parlimen kawasan itu disandang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pembangkang turut menguasai DUN Penanti menerusi Datuk Mansor Othman (PKR) dan DUN Seberang Jaya Datuk Salleh Man (PAS).

Pada masa yang sama, Abdul Jalil berharap BN akan meletakkan calon anak tempatan untuk bertanding di kerusi parlimen Permatang Pauh bagi memastikan urusan berkempen dapat berjalan lancar.

"Setakat ini Umno bahagian belum namakan calon untuk kawasan Permatang Pauh dan kita akan sokong sesiapa sahaja yang diumumkan Presiden Parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tetapi kita ada pengalaman beberapa kali calon bukan anak tempatan...bukan tidak boleh tetapi kalau orang Permatang Pauh ia lebih mudah kerana orang di sini sudah kenal kerana selalu nampak semasa aktiviti parti," katanya.

Dalam pekembangan lain, Abdul Jalil berkata majlis pelancaran Gelombang Biru PRU13 bagi Parlimen Permatang Pauh akan diadakan pada 24 Mac ini di Politeknik Seberang Perai, di sini.

Katanya majlis akan dirasmikan oleh Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Menteri Belia dan Sukan pada pukul 2 petang. - BERNAMA

Artikel Lain