suria

Blueprint 1Care Siap 2014 - Liow

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menjangkakan. 'blueprint' sistem penjagaan kesihatan (1 Care for 1 Malaysia) bagi cadangan menggantikan sistem sedia ada bakal siap dalam tempoh dua tahun iaitu menjelang 2014.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya akan mendapatkan input daripada pelbagai pihak termasuk rakyat dalam penyediaan blueprint berkenaan.

Menurut beliau, kajian berhubung penambahbaikan sistem sedia ada sedang dijalankan sehingga hujung tahun ini bagi mengumpul maklumat awal.

"Blueprint itu akan siap selepas mendapat maklum balas awam. Apabila sudah siap, kami akan kembali kepada rakyat lagi. Kemudian kita akan melihat bagaimana tindak balas daripada orang ramai.

"Ini sebagai langkah komprehensif yang diambil kerajaan untuk memastikan kajian menyeluruh diambil sebelum ia dilaksanakan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen pada Khamis.

Sebelum itu menjawab soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) pada persidangan Dewan Rakyat, Liow menegaskan bahawa sistem 1Care masih di peringkat perbincangan dan belum mempunyai pelan tindakan seperti yang diuar-uarkan pembangkang.

"Adalah bohong belaka bila kumpulan tertentu mengatakan kononnya semua telahpun dimuktamadkan, akan dilancar satu sistem kesihatan baru dalam bulan Mac ini dan sebagainnya.

"Dakwaan potongan gaji 10 peratus adalah tidak benar. Sebenarnya ia adalah anggaran bagi perbelanjaan rawatan kesihatan bagi seluruh isi rumah untuk setahun dan bukan untuk individu.

"Malah dakwaan kerajaan akan mengehadkan temu janji dengan doktor juga tidak munasabah kerana kita faham ada pesakit yang memerlukan lebih rawatan dan ada yang memerlukan kurang. Sebenarnya enam temu janji itu adalah anggaran penggunaan klinik primer secara purata oleh rakyat dalam setahun," katanya.

Artikel Lain