suria

Kerajaan Pusat Salur RM262.6 Juta Laksana 19 Projek Pembaikan Sekolah Di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan pusat memperuntukkan sekitar RM262.6 juta bagi melaksanakan 19 projek pembaikan struktur bangunan sekolah di Sabah di bawah program 'darurat' sejak tahun 2009, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata lapan daripada sekolah berkenaan yang bernilai RM99.4 juta sudah diserahkan kepada pihak pengurusan sekolah tahun lepas manakala penyerahan siap kerja empat lagi sekolah dibuat, Jumaat.

Puad berkata kerja pembaikan empat lagi sekolah iaitu SMK Bandaraya Kota Kinabalu, SMK Teknik Lahad Datu, SMK Pengiran Abdullah, Semporna dan SMK Kinarut dijangka siap bulan depan.

Surat tawaran projek pembaikan untuk tiga lagi sekolah, iaitu Sekolah Pendidikan Khas di Tuaran, Sekolah Menengah Agama Kota Kinabalu dan SK Pulau Gaya, pula sudah dikeluarkan, katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan siap kerja projek pembaikan struktur bangunan SK Bukit Padang, SK Pekan Kinarut, SMK Putatan dan SMK Kunak di dataran perhimpunan SK Bukit Padang, dekat sini, Jumaat.

"Sebenarnya pembinaan bagi SK Pulau Gaya berharga RM19.9 juta sudahpun bermula dan jika semuanya berjalan lancar, kita jangka ia siap menjelang Oktober tahun ini," katanya.

Puad berkata peruntukan darurat atau segera itu diberikan hanya dalam keadaan yang mendesak terutama pembaikan struktur bangunan sekolah yang rosak teruk atau terbakar.

Katanya pemberian peruntukan darurat itu menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan dalam membela nasib rakyat Sabah terutama dalam soal pendidikan.

"Kita berharap dengan adanya peruntukan daripada tabung khas naik taraf sekolah dalam belanjawan 2012 sebanyak RM1 bilion yang mana RM500 juta daripadanya dikhaskan untuk sekolah kebangsaan, maka ini dapat membantu kita menyelesaikan sekolah-sekolah yang daif khususnya dalam kategori rosak teruk, terutama di Sabah dan Sarawak," katanya.

Dalam hal ini, Puad berkata pihak kementerian sudah menubuhkan jawatankuasa petugas khas bagi membuat penilaian terhadap sekolah-sekolah berkenaan di seluruh negara.

"Kita sudahpun melawat 2,254 sekolah dan hanya tinggal 392 sekolah yang belum dilawati. Daripada jumlah yang sudah dilawati, terdapat masalah struktur bangunan yang membabitkan 656 sekolah dan bukan struktur 1,203 sekolah," katanya.

Bagi tujuan itu, kontraktor akan dilantik pada bulan April manakala projek pembaikan itu dijangka bermula pada bulan Julai dan dijangka siap pada Disember tahun ini, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain